Anak cantik impian ibubapa?
Setiap anak cantik kepada ibubapa :) |
Jom baca artikel tentang anak cantik berikut:
Rancang dapat anak cantik
KUALA LUMPUR: Perancangan dalam kehamilan dapat membantu ibu bapa mendapatkan bayi sihat, sekali gus boleh membesar sebagai anak cantik.
Pakar Perunding Kanak-Kanak dan Pakar Genetik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Prof Dr Zilfalil Alwi berkata, perancangan kehamilan bermakna wanita tahu bila mereka akan hamil dan membantu mereka lebih bersedia untuk menjaga kandungan.
“Dalam kehamilan, tempoh tiga bulan pertama adalah kritikal kerana waktu itu berlaku pembentukan mata, anggota badan dan jantung bayi. Jika kandungan tidak dirancang, ada wanita tidak tahu mereka hamil walaupun kandungan mencecah dua bulan.
“Dalam tempoh itu, wanita yang tidak menyedari mereka hamil mungkin tidak menjaga kandungan, terutama membabitkan pemakanan dan kawasan persekitaran yang boleh menjejaskan pembentukan bayi. Lebih teruk jika wanita itu perokok dan mengambil alkohol,” katanya ketika dihubungi.
Dr Zilfalil berkata, faktor genetik turut memainkan peranan kerana wujud gen tertentu yang boleh menentukan pembentukan bayi, termasuk wajahnya. “Setiap manusia memiliki kira-kira 25,000 gen dan beberapa ribu daripadanya terbabit dalam pembentukan bentuk badan. Gen juga ditentukan faktor ibu dan bapa atau keturunan.
“Jika bayi dilahirkan tidak normal, mungkin ia berpunca daripada ibu atau bapa sebagai pembawa dan kita tidak boleh mengawalnya,” katanya.
Beliau berkata, kejadian bayi dilahirkan tidak sempurna seperti lelangit sumbing atau berpenyakit kemungkinan berpunca daripada gen tidak normal dibawa ibu bapa.
Menurutnya, pembentukan setiap bayi itu diwarisi, jika ibu bapa berhidung penyek, bermata sepet atau berkulit gelap, ia akan turun kepada anak mereka.
“Maksud cantik itu juga subjektif. Sesetengah orang mungkin melihat bangsa dari benua Afrika yang berkulit hitam, bibir tebal dan berambut kerinting halus tidak cantik, tetapi di kalangan mereka ia tetap cantik,” katanya. (sumber)
Mak lawa, anak cun
“SEMUA ini anugerah Allah. Cuma setiap kali bersalin, saya mementingkan soal berpantang,” kata Bedah Saad, 59, ibu kepada pelakon jelita, Rozita Che Wan, 40, dan Ayu Raudhah, 27, mengenai rahsianya memperoleh anak mempunyai rupa paras cantik.
Selain Rozita dan Ayu Raudhah, tiga lagi anak perempuan Bedah iaitu Robithoh, 35, yang juga isteri pelawak Lan Pet Pet, Rahaiza, 31, dan Rahimah, 41, turut memiliki rupa paras menawan.
Keluarga ini turut memiliki dua saudara lelaki iaitu Rashidi, 33, dan Mohd Rafiudin, 24.
Bedah berkata, dia turut menggalakkan semua anak perempuannya melakukan amalan lepas bersalin dalam usaha mengekalkan bentuk badan, selain lebih sihat.
“Sepanjang tempoh berpantang, saya memang berdisiplin, terutama membabitkan makanan. Semua ini diajar ibu saya dan saya kemudian menurunkannya kepada anak.
“Setiap kali bersalin pula, saya berpantang dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan bentuk tubuh langsing. Saya tak makan apa-apa jamu tapi jaga pemakanan harian dan banyak minum air suam, selain bangun awal setiap hari,” katanya. (sumber)
Tak guna kalau tiada iman
KUALA LUMPUR: “Semua orang suka kecantikan dan mahukan anak cantik. Namun, apa gunanya berwajah cantik dan tampan tapi melawan ibu bapa. Jadi kecantikan dalaman sebenarnya lebih penting,” kata perunding motivasi, Datuk Mohd Zawawi Yusoh.
Mohd Zawawi berkata, manusia boleh berusaha bagi mendapatkan keturunan cantik, namun ia ditentukan Allah.
Katanya, pembentukan muka, anggota badan dan pembesaran ditentukan Allah.
Beliau berkata, antara usaha yang boleh dilakukan ialah ibu mengandung digalakkan membaca surah Yusuf untuk mendapatkan anak cantik, surah Luqman bagi anak bijak dan surah Maryam untuk mendapatkan anak soleh.
Ini termasuk menjaga pemakanan dan kandungan supaya anak yang bakal dilahirkan sihat.
“Jika mahukan keturunan cantik, mungkin boleh memilih pasangan cantik seperti orang kulit putih yang berhidung mancung, berambut perang dan berbibir nipis.
“Namun, kecantikan itu tidak ada gunanya jika ia tidak seiring dengan sikap kita, lebih-lebih lagi jika langsung tidak beriman kepada Allah.
“Ambil contoh sahabat Rasulullah SAW iaitu Bilal bin Rabah. Bilal adalah hamba daripada bangsa kulit hitam dan kerap diejek kerana keadaan itu,” katanya.
“Namun Bilal antara individu terawal memeluk Islam dan diakui sebagai seorang yang patuh dan rajin terhadap tanggungjawabnya, ikhlas, amanah, berani, tabah, dan sanggup menghadapi risiko demi mempertahankan kebenaran hingga dilantik sebagai juruazan oleh Rasulullah SAW,” katanya. (sumber)
Artikel terakhir paling penting dalam penilaian kepada cantik! Setuju?
EmoticonEmoticon