Animasi BoBoiBoy ke persada antarabangsa
Suka siri animasi tiga dimensi (3D) BoBoiBoy?
Kalau tak suka, memang anda bukan berjiwa kanak-kanak atau tiada anak.. huhuhuhu
Siri animasi tiga dimensi (3D) BoBoiBoy memang kegemaran Azfar dan Azwar. Mereka bukan layan di TV tetapi dari Youtube. Ini kerana kami agak jarang menonton TV3 jadi selalu terlepas masa rancangan siri animasi tiga dimensi (3D) BoBoiBoy.
Sop pun suka layan siri animasi tiga dimensi (3D) BoBoiBoy kerana watak, jalan cerita, animasi sangat menarik. Diharapkan, siri animasi tiga dimensi (3D) BoBoiBoy akan difilemkan juga seperti Upin dan Ipin. Tahniah kepada anak tempatan yang mampu menghasilkan animasi yang baik. Semoga akan terus banyak siri-siri dan filem animasi yang baik dari Malaysia. Bolehlah kita memamparkan filem-filem animasi citarasa Malaysia sendiri :)
Terbaikkkkk!!!
GELAGAT comel kanak-kanak mempunyai kuasa super menentang makhluk asing bergelar Adudu yang berkepala botak dalam siri animasi tiga dimensi (3D) BoBoiBoy cukup menghiburkan dan mencuit hati penonton.
Kehalusan pergerakan karakter, pencahayaan terperinci dan garapan cerita yang baik menghidupkan lagi watak-watak dalam siri animasi 3D itu sehingga kelihatan bak dalam dunia nyata.
Ia sekali gus menjadikan siri animasi BoBoiBoy setanding hasil karya antarabangsa selain antara pilihan siri animasi kanak-kanak pada hari ini.
Bukan sahaja kanak-kanak kecil teruja menonton kelibat kanak-kanak mempunyai kuasa super itu malah, golongan dewasa juga tidak terkecuali dalam menonton siri animasi hasil garapan sulung Animonsta Studios Sdn. Bhd.
TUNJANG belakang Animonsta Studios (dari kiri) Muhammad Anas Abdul Aziz, Mohd. Nizam, Mohd. Safwan Ab. Karim dan Kee Yong Pin.
Di sebalik hasil karya yang mempunyai durasi selama 11 minit itu, penonton mungkin tidak mengetahui bahawa pembikinan sebuah episod BoBoiboy mengambil masa kira-kira satu bulan untuk disiapkan sepenuhnya.
Pengarah Urusan Animonsta Studios Sdn. Bhd., Mohd. Nizam Abd. Razak berkata, terdapat tiga peringkat utama yang perlu dilalui terlebih dahulu dalam penghasilan siri animasi BoBoiBoy.
“Pada peringkat awal, proses praproduksi perlu dilakukan terlebih dahulu. Kita akan bersama-sama membincangkan mengenai idea, plot cerita, skrip yang sesuai digunakan, penyediaan audio dan kemasukan suara latar.
“Apabila sudah melalui proses praproduksi ini, kita akan meneruskan pula proses produksi yang melibatkan proses lebih rumit seperti modeling watak-watak, pergerakan animasi, rendering, proses audio, pencahayaan dan banyak lagi,” ujar anak muda berusia 28 tahun itu.
Selepas proses produksi, graduan Universiti Multimedia (MMU) itu menjelaskan, mereka akan melakukan post produksi dalam mengemaskini garapan plot cerita untuk memastikan produk akhir menepati kriteria ditetapkan.
DARI KIRI: BoBoiBoy, Gopal, Ying dan Yaya menambat hati penggemar animasi tempatan dan antarabangsa.
Ujarnya lagi, beberapa perkara yang perlu dititikberatkan dalam proses akhir itu termasuklah penyuntingan, memasuk pelbagai efek, pengubahan dan lain-lain lagi.
Mohd. Nizam menubuhkan Animonsta Studios bersama tiga rakan universitinya yang hanya mempunyai tujuh tenaga kerja pada tahun 2009. Kini, Animonsta Studios boleh berbangga kerana menjadi platform mengetengahkan bakat tempatan dan luar negara apabila berkembang sehingga kini mempunyai 30 tenaga kerja.
“Kita telah menggunakan beberapa perisian termasuk Adobe Photoshop, After Effects, Premiere, Autodesk Maya 3D dan Apple Logic Pro untuk melancarkan proses pembikinan siri animasi 3D BoBoiBoy ini.
“Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC) banyak memberi sokongan termasuk memberi akses kemudahan yang ada di bangunan Pusat Animasi dan Kandungan Kreatif (MAC3), Cyberjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Nizam memberitahu, pemilihan watak adiwira cilik adalah kerana genre tersebut mudah diterima penonton tempatan dan antarabangsa.
“Kita ingin membikin ikon kanak-kanak yang dapat menghibur sambil menyampaikan nasihat kepada penonton terutama kanak-kanak melalui animasi. Ia terbukti apabila siri animasi 3D BoBoiBoy ini mendapat sambutan di negara ini. Bahkan, melalui rangkaian Disney ia berjaya menambat hati penonton animasi luar negara seperti di Filipina dan Singapura,” katanya.
Cabaran juruanimasi
ANIMONSTA Studios mempunyai 30 tenaga kerja untuk membikin BoBoiBoy.
Sementara itu, Juruanimasi Kanan Animonsta Studios, Ahmad Noriman Ahmad Saffian memberitahu, sebagai juruanimasi dia perlu mempunyai kemahiran berlakon.
“Lazimnya, kami akan melakonkan babak-babak antara satu sama lain untuk memastikan pergerakan animasi berjalan dengan lancar dan cantik.
“Dengan cara ini, kita dapat melihat mimik muka, pergerakan tangan dan kaki dengan lebih mudah untuk mendapat mood apabila ingin diterjemahkan kepada animasi,” katanya.
Pemuda berusia 23 tahun itu menambah, kadangkala dia juga berdepan kesukaran mencari idea yang sesuai untuk sesuatu babak animasi tersebut.
Katanya, dia tidak mahu babak dihasilkan menyamai babak sebelum ini untuk memastikan kelainan dapat ditonjolkan kepada penonton.
“Juruanimasi bukan sahaja perlu kreatif tetapi, mempunyai daya imaginasi yang tinggi dalam pembikinan BoBoiBoy.
“Kita juga sentiasa mengadakan perbincangan untuk memastikan hasil karya menepati cita rasa penonton hari ini,” katanya lagi.
Rashdan Fahirurazi, 23, yang sentiasa membuat rujukan filem atau siri animasi antarabangsa pula berkata, dia merasakan terdapat babak sukar dan mudah dilakukan dalam pembikinan BoBoiBoy.
“Ia bergantung kepada skrip yang diperoleh pada babak berkenaan. Kalau ada babak lawan ia lebih rumit dan memerlukan daya imaginasi para juruanimasi.
“Tidak dinafikan, terdapat juga babak-babak yang telah siap kemudian ditolak kerana tidak menepati kriteria dialog yang diberikan kepada kami,” katanya.
Bagaimanapun, ia bukan penghalang bagi mereka untuk meningkatkan lagi mutu dan kualiti produk akhir.
Katanya, apabila penonton dapat merasai apa yang cuba disampaikan ia memberi kepuasan kepada diri terutamanya membabitkan babak jenaka.
Perancangan masa depan
Mohd. Nizam menambah, dia sedang dalam perancangan untuk memasarkan siri animasi 3D BoBoiBoy di Indonesia pada bulan Januari tahun hadapan.
“Beberapa stesen televisyen luar negara turut menunjukkan maklum balas positif dan berharap BoBoiBoy dapat melonjak nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.
Dia yang menggemari animasi turut mempunyai perancangan untuk membuat filem dan barang niaga BoBoiBoy seperti kandungan mudah alih, baju T, minuman, kek serta banyak lagi.
EmoticonEmoticon