Salah posisi badan ketika bekerja
Artikel yang baik untuk dibaca. Sop sendiri rasa salah posisi kerusi dan meja kot sebab selalu sakit-sakit badan.
DALAM diam Ramadan sudah masuk hari kelima belas dan ketika ini semua orang semakin sibuk membuat persiapan sebelum Syawal. Antara yang paling ligat bekerja sehingga terpaksa bersengkang masa mengorbankan masa tidur ialah peniaga termasuk tukang jahit dan pembuat kuih yang bertungkus-lumus menyiapkan tempahan.
Kakitangan kerajaan dan swasta juga tidak kurang sibuknya, masing-masing tidak mahu ada kerja tertangguh sebelum bercuti panjang pada hari raya nanti.
Biasanya dalam keadaan yang sibuk inilah kita mendengar rungutan seperti sakit pinggang, leher dan bahu terasa tegang atau kebas tangan.
Menurut Pengurus Fisioterapi Hospital Assunta, Jacqueline Chan, masalah dihadapi ini adalah kesan daripada tekanan yang berkaitan dengan pekerjaan atau aktiviti yang dilakukan berulang kali dan dikenali sebagai kecederaan tekanan berulang (RSI).
Sebenarnya ada banyak istilah yang digunakan untuk masalah ini seperti gangguan trauma kumulatif (CTD), kecederaan pergerakan berulang, gangguan pergerakan berulang, kecederaan lewah guna atau sindrom lewah guna. Tidak kira apa istilahnya, semuanya merujuk kepada masalah yang sama.
“Ini adalah masalah biasa yang dihadapi ramai orang termasuk golongan muda.
Ramai yang datang sebab alami kesakitan, tetapi sukar untuk tentukan bila masalah mereka bermula kerana ia berlaku secara perlahan-lahan dan ‘terkumpul’ dalam satu tempoh tertentu.
“Masalah CTD atau RSI ini juga disumbangkan gaya hidup seseorang dan ia semakin lazim kerana ramai orang kini mempunyai pekerjaan yang tidak banyak bergerak dan boleh dikatakan sepanjang masa terpaku di depan komputer. Malah, kedudukan badan yang tidak betul ketika melakukan kerja juga mendedahkan kita kepada masalah ini,” katanya.
Kajian pada 2008 mendapati hampir 68 peratus pekerja di United Kingdom mengalami beberapa jenis RSI dan masalah paling biasa ialah kesakitan pinggang, bahu dan pergelangan tangan.
Menurutnya, jika dulu, masalah ini lebih banyak berlaku pada orang dewasa dan tua, tetapi kini golongan muda serta remaja juga mengalami masalah yang sama. Dia menerima ramai pesakit muda yang me�ngalami sakit pinggang akibat terlalu lama duduk menghadap komputer.
“Malah, terlalu lama menaip atau menekan butang pada telefon bimbit juga boleh menyebabkan kesakitan pada jari. Inilah yang berlaku pada seorang remaja di luar negara. Dia mengalami kekejangan otot pada ibu jarinya kerana terlalu lama bermain permainan dalam telefon bimbit sehingga ibu jarinya tidak boleh diluruskan dan terpaksa dibedah,” katanya.
Bagaimanapun, punca sebenar RSI masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi kebanya�kan pakar berpendapat ia ada kaitan dengan gaya hidup, posisi badan ketika bekerja dan melakukan pekerjaan berulang dalam satu tempoh yang lama.
Antara faktor lain yang dianggap turut memberi sumbangan kepada RSI ialah:
Malah, jenis pekerjaan juga mendedahkan seseorang kepada risiko mengalami RIS. Contohnya penulis, wartawan atau mereka yang banyak menggunakan komputer lebih mudah mengalami sakit tangan, leher, belakang dan sindrom terowong Karpal.
- Posisi tidur yang salah
- Kedudukan kerusi, meja dan komputer yang tidak sesuai
- Mengangkat atau membawa barang berat
- Terlalu lama berada pada posisi yang sama
Pekerjaan sebagai pemandu (tidak kira apa jenis kenderaan) pula lebih cenderung mengalami sakit pinggang kerana terlalu lama duduk. Pemain golf pula kerap alami spikondilitis iaitu keadaan di mana siku menjadi bengkak dan sakit.
Tukang jahit pula boleh mengalami masalah sakit tengkuk, bahu terasa tegang, sakit pinggang, sindrom terowong Karpal dan jari terasa kebas.
Malah, kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada masalah ini dan ramai mengadu sakit belakang (pinggang). Biasanya masalah kanak-kanak atau remaja adalah masalah otot yang disebabkan membawa beg sekolah yang berat.
Gejala RSI
Menurut Jacqueline, kebanya�kan pesakit yang datang mengadu mengalami kesakitan, tetapi tidak dapat memberitahu dengan tepat bila atau dari mana kesakitan itu bermula. Ini kerana kesakitan RSI berlaku secara perlahan-lahan menyebabkan ada sesetengah orang tidak menyedari mengalami masalah sehinggalah ia tidak tertanggung.
Biasanya kesakitan ini bermula pada bahagian atas badan bahu, lengan, pergelangan tangan, tapak tangan dan jari sebelum ia mula ‘berpindah perlahan-lahan’ ke bahagian badan yang lain khususnya belakang pinggang. Kesakitan ini ada kalanya menyucuk, kebas atau terasa panas.
Darjah kesakitan berbeza antara individu mengikut daya ketahanan masing-masing. Ada yang mengadu teruk walaupun masalah dialaminya cuma sedikit, tetapi ada pula yang tidak merungut langsung meskipun bekerja dalam kesakitan.
Kesakitan yang dialami boleh berpusat pada satu titik saja atau merebak ke bahagian badan yang lain. Namun, biasanya kesakitan akan bertambah teruk jika kita terus bekerja dan membiarkan masalah berkenaan berlarutan. Antara gejala lain ialah:
Ada banyak contoh RIS, antaranya:
- Anggota badan terasa lenguh, lemah atau kebas
- Anggota terasa berat dan susah hendak digerakkan
- Ada kalanya hilang kawalan atau keseimbangan
- Tangan kadangkala terasa sejuk
- Anggota badan terasa sakit dan kesakitan bertambah kuat apabila anda melakukan kerja
- Sakit pada otot atau sendi satu-satu anggota
- Sendi atau otot terasa bengkak
- Kesakitan terasa menyucuk
- Kebas terutama pada tangan dan kaki
- Tangan atau kaki hilang kekuatan
- Dalam sesetengah keadaan, pesakit turut mengalami kesukaran untuk tidur kerana kesakitan
Sindrom terowong Karpal - iaitu kesakitan pada pergela�ngan tangan yang sering dialami penulis, wartawan atau mereka yang banyak menaip di komputer. Ia berlaku apabila adanya tekanan pada saraf tengah pada terowong Karpal di pergelangan tangan menyebabkan aliran darah terganggu dan membuatkan kita berasa sakit.
Spikondilitis atau masalah sakit siku yang dialami pemain tenis atau golf
Jari bengkok - Ia berlaku apabila jari biasanya ibu jari atau telunjuk menjadi bengkok (akibat melakukan pergerakan berulang dan tidak dapat diluruskan).
Rawatan dan pencegahan
Biasanya masalah RIS boleh hilang sendiri perlahan-lahan jika seseorang itu berhenti bekerja dan banyak berehat sebaik kesakitan bermula. Lebih cepat masalah diberi perhatian, kesannya lebih baik.
Jika masalah dibiarkan berlanjutan terlalu lama, rawatan mungkin tidak dapat menghilangkan kesakitan sepenuhnya. Malah, kesan rawatan mungkin tidak sebaik jika masalah dirawat awal.
“Perkara paling penting ialah berehat sebaik mengalami gejala awal RIS seperti kebas dan sakit. Hanya sambung kerja selepas kesakitan hilang. Biasanya pesakit dinasihatkan berehat sekejap ketika bekerja, melakukan senaman ringkas seperti regangan atau berjalan untuk menghilangkan ketega�ngan dan urut.
“Jika kesakitan berlarutan, doktor boleh memberikan ubat tahan sakit, meletakkan pek sejuk atau panas pada bahagian yang sakit (bengkak) tetapi pada masa sama, pesakit perlu membuat senaman dan berehat. Bagaimanapun, kaedah rawatan berbeza mengikut keadaan pesakit,” katanya.
Urut juga boleh menghilang�kan kesakitan untuk sementara, tetapi kaedah terbaik ialah melakukan senaman menguatkan otot. Malangnya ramai orang kurang peduli dengan badan sendiri sehinggalah terasa sakit. Bila sakit, rajin buat senaman tetapi apabila kesakitan hilang, senaman dihentikan. Jadi otot akan menjadi lemah semula kerana tidak digunakan.
Walaupun anda digalakkan melakukan aktiviti fizikal, lebih baik dapatkan nasihat doktor terlebih dulu kerana ada senaman yang tidak sesuai dengan keadaan anda.
Contohnya bagi yang sakit pinggang, senaman seperti berenang akan menyebabkan kesakitan bertambah buruk. Bagaimanapun, berjalan dikategorikan sebagai senaman yang sesuai untuk semua orang.
Selepas mendapatkan rawatan, pesakit perlu membuat perubahan pada gaya hidup atau cara bekerja. Jika tidak masalah yang dialami akan berulang kerana rawatan yang diberikan hanya sementara.
Namun menurutnya, masalah RIS sebenarnya boleh dicegah dengan mempelajari posisi badan yang betul ketika bekerja. Bagi mereka yang banyak bekerja di depan komputer, pastikan kedudukan kerusi, meja dan komputer pada aras yang sesuai.
Menggunakan komputer - Papan kekunci mestilah mudah dicapai dan lembut. Jari dan pergelangan tangan mestilah pada satu aras, lengan dan pergelangan tangan pada kedudukan sudut 90 darjah. Rapatkan siku ke badan untuk elak pergelangan tangan dalam kedudukan bengkok.
Kedudukan kaki - kaki mestilah rata di atas lantai. Letakkan pelapik atau kotak jika kaki anda tergantung supaya kaki boleh berehat semasa anda bekerja.
Pastikan monitor pada kedudukan yang betul iaitu di bawah paras mata pada jarak sekurang-kurangnya sehasta (dari siku ke hujung jari hantu). Anda sepatutnya boleh baca tulisan pada monitor dengan mudah tanpa perlu ke depan atau menyakitkan tengkuk.
Pilih kerusi ergonomik yang boleh dilaras ketinggian, mempunyai tempat merehatkan tangan dan memberi sokongan kepada tulang belakang.
Berhenti rehat setiap 30 minit dan berjalan seketika. Buat senaman regangan yang ringkas. Inilah cara untuk mencegah RSI.
Jika anda bersenam, sentiasa ingat untuk melakukan senaman memanaskan badan. Jangan terburu-buru membuat senaman ini kerana ia membolehkan badan bersedia untuk melakukan aktiviti yang cergas dan mengurangkan risiko RSI serta kecederaan lain.
Buat senaman regangan yang ringkas di tempat duduk. Regangkan leher dengan melentukkan kepala ke bahu kiri atau kanan sehingga anda terasa urat tegang dan tahan beberapa saat. Ulang untuk sebelah lagi. Buat juga senaman untuk meregangkan pergelangan tangan dan bahu dari semasa ke semasa.
Apabila mengangkat barang berat, gunakan kekuatan seluruh badan dengan membengkokkan kaki. Jangan bongkokkan badan untuk mengangkat barang kerana ia akan memberi tekanan pada bahagian belakang. Ia akan membuatkan anda sakit pinggang.
Bagi pemandu terutama pemandu lori, ramai mengalami sakit belakang kerana kebanyakannya memandu untuk jarak jauh dalam tempoh yang lama. Untuk mengelakkan masalah ini, sebaiknya berhenti rehat setiap sejam. Ketika berehat anda boleh berjalan atau membuat senaman regangan belakang dalam kenderaan.
Caranya mudah iaitu dengan melentikkan badan dengan menolak dada ke depan sejauh mungkin sehingga bahagian pinggang belakang terasa tegang dan tahan beberapa saat. Kembalikan badan ke kedudukan asal dan bongkokkan badan ke depan dengan merehatkan leher. Ulang 10 kali. Anda juga boleh buat ‘push up’ atas kerusi. Letakkan tangan di atas tempat duduk dan cuba angkat badan anda. Ulang 10 kali.
“Dengar ‘rintihan’ badan anda. Berhenti berehat apabila mula terasa sakit. Mengabaikan petanda yang kecil, tetapi penting ini hanya akan membawa kemudaratan kepada diri sendiri,” katanya.
EmoticonEmoticon