28 July 2011

Malaysia akan menang malam ini?

Adakah Malaysia akan menang malam ini?
Jika menang adakah Malaysia mampu mendapatkan lebih 2 gol?

Sebagai rakyat Malaysia, Sop akan menyokong penuh pasukan Malaysia untuk menewaskan pasukan Singapura malam ini. Bukan kemenangan sahaja yang diharap tetapi prestasi permainan pasukan adalah paling penting. Jika kalah sekalipun tetapi prestasi dan persembahan yang diberikan adalah baik, penyokong tidak akan mempertikaikan lagi.

Jom gegarkan malam ini dengan sorakan di stadium, rumah, kedai, tepi jalan, dalam kereta seluruh Malaysia malam ini.

Agak-agak cam mana keputusan malam ini?
Sop rasa Malaysia menang 3 - 1 dengan Singapura. Pendapat anda?

MENCARI dua gol dalam pertemuan dengan Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini sebenarnya bukan satu misi yang sukar buat skuad bola sepak negara.

Tewas 3-5 pada aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 minggu lepas tidak seharusnya menjadi alasan buat Malaysia menyerah kalah sebelum berjuang.
Nikmati jenama kegemaran anda pada harga rendah!

Sebaliknya, tiga gol yang dihasilkan di tempat lawan itu seharusnya dianggap sebagai kelebihan dan dijadikan azimat kepada anak-anak buah Datuk K. Rajagobal untuk meruntuhkan keegoan Singapura.

Namun, dengan syarat - misi mencari dua gol perlu dilunaskan dan gawang mereka tidak dibolosi.

Biarpun Singapura gah dengan ‘tenaga import’ mereka, namun mereka terlupa bahawa skuad negara juga memiliki senjata sulit yang lebih ampuh pada malam ini, iaitu sokongan jitu dan laungan padu lebih 90,000 peminat setia Harimau Malaya yang akan membanjiri Stadium Nasional.

Dengan sokongan padu penyokong negara, berbekalkan keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan pemain negara serta mengharapkan tuah ‘jersi biru’ kembali menjadi di Stadium Nasional malam ini, kemenangan ke atas Singapura dengan kelebihan dua gol tidak mustahil dapat direalisasikan.

Berdasarkan 19 rekod pertemuan sejak tahun 2000 termasuk yang terbaharu kalah 3-5 minggu lepas, Malaysia hanya menang lima kali, seri enam kali dan kalah lapan kali (tewas penalti tiga kali).

Namun, itu hanya rekod di atas kertas dan tidak relevan dengan situasi terkini serta faktor-faktor penting yang bakal tercetus pada hari pertemuan nanti seperti suntikan semangat dan sokongan padu peminat negara serta prestasi semasa dalam beberapa perlawanan persahabatan.

Seandainya skuad negara berjaya menyerap semangat keramat daripada penyokong Harimau Malaya malam ini, kejayaan sudah pasti berada dalam genggaman.

Harapan malam ini sudah pastinya sekali lagi disandarkan ke bahu penyerang sensasi negara, Mohd. Safee Sali yang tidak pernah menghampakan peminat setia Harimau Malaya.

Dua gol yang diledakkan Safee di Kota Singa baru-baru ini membuktikan keberkesanan penyudahnya yang tidak harus dipandang mudah pertahanan Singapura.

Malah, gandingan dan persefahamannya yang semakin mantap dengan Abdul Hadi Yahya (selepas ketiadaan Norshahrul Idlan Talaha), jelas sekali menjadi pertaruhan skuad negara dalam misi memburu dua gol.

Ketiadaan kapten yang juga perancang utama, Safiq Rahim mungkin sedikit dirasai, namun Rajagobal sudah pasti ada keyakinan tersendiri terhadap penggantinya iaitu Ismail Faruqi Ashari atau Amar Rohidan untuk memainkan peranan penting malam ini.

Namun, persoalan yang kerap kali bermain di benak fikiran setiap penyokong Malaysia ketika ini ialah kelemahan benteng pertahanan ketika dibolosi lima gol minggu lepas.

Kekuatan mental serta fokus sepanjang 90 minit permainan akan memainkan peranan penting bagi kubu negara yang mungkin dipimpin semula oleh Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Namun, harus diingat bahawa kekalahan dalam sesuatu permainan itu tidak harus diletakkan kepada barisan pertahanan sahaja kerana dalam bola sepak, semua pemain di atas padang perlu menjalankan tugas masing-masing dengan baik dan bekerjasama membentuk persefahaman yang kukuh dalam memerangkap pemain lawan.

Walau apa pun, sekiranya pemain negara dapat mengulangi semangat juang yang dipamerkan seperti di babak kedua ketika bertemu Singapura minggu lalu, malam ini, bukan sahaja kemenangan dapat dicipta, malah maruah juga dapat ditebus semula, sekali gus memberi kepuasan kepada 90,000 penyokong Harimau Malaya yang akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

2 comments:

  1. semoga doa rakyat malaysia diterima Allah, amin.

    ReplyDelete
  2. Amin..
    Terima kasih ctpayong.. guna mobile ker?

    ReplyDelete


EmoticonEmoticon