04 June 2011

Motosikal BMW K1600 Enjin enam silinder



PENGENAAN enjin enam silinder sebaris pada motosikal bermula sejak era 1970-an. Dengan teknologi pada zaman tersebut, binaan enjin sebaris memiliki ciri sama ada amat panjang atau amat lebar. Malah pada ketika itu, konsep mengguna pakai enjin tersebut dianggap sebagai sesuatu yang tidak praktikal pada sesebuah motosikal.

Biarpun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga enjin enam silinder sebaris yang dihasilkan pada zaman itu yang bagus. Namun, apabila dinilai pada soal nisbah kuasa-berat, keputusannya kurang memuaskan.

Mungkin disebabkan faktor enjin enam silinder sebaris yang besar dan berat, sekali gus menjadi beban pada motosikal. Kuasa tambahan diperlukan untuk menyelesaikan kedua-dua faktor tersebut.

Benelli, syarikat pengeluar jentera Itali merupakan perintis industri apabila memperkenalkan motosikal pertama dengan enjin enam silinder sebaris menerusi model Benelli 750 Sei pada tahun 1972. Tidak lama kemudiannya, dua pemain Jepun mengikuti rentak sama. Bermula dengan Honda CBX1000 pada tahun 1978 dan kemudiannya model Kawasaki KZ1300 tahun 1979.

Selepas itu, motosikal dengan enjin panjang tidak menjadi pilihan utama pengeluar kenderaan. Senario mula berubah apabila Suzuki menayangkan motosikal konsep Stratosphere di Tokyo Motor Show enam tahun lalu. Ia dilengkapi enjin enam silinder sebaris 1,100cc. Namun sehingga kini, tiada khabar berita mengenainya.

Tahun 2009, BMW pula mengetengahkan model konsepnya, BMW Concept 6 di Pameran Motor Antarabangsa Milan di Itali. Tiada siapa sangka pengeluar kenderaan Jerman itu menunjukkan usaha seolah-olah mahu menghidupkan semula penggunaan enjin enam silinder sebaris pada motosikal. Mereka benar-benar merealisasikannya!

Dua varian iaitu K 1600 GT dan K 1600 GTL diperkenalkan pada Pameran Antarabangsa Intermot 2010 di Cologne, Jerman. Jualannya pula bermula pada Mac 2011.

Untuk pasaran tempatan, kedua-dua model tourer tersebut baru sahaja ditawarkan oleh BMW Group Malaysia (BMW Malaysia).

Pengarah Urusan BMW Malaysia, Geoffrey Briscoe berkata, buat masa ini, sebanyak 20 tempahan untuk kedua-dua varian tersebut sudah diterima dengan nisbah K 1600 GTL dan K 1600 GT ialah 60:40.

Sasaran jualan bagi semua model motosikal BMW tahun ini adalah sekurang-kurangnya 300 unit. Tahun lalu, BMW merekodkan jualan sebanyak 281 unit motosikalnya.

“Jentera K 1600 GT dan K 1600 GTL merupakan satu lagi bukti kepakaran BMW dalam industri motosikal. Kedua-dua model ini membuka laluan untuk kami meneruskan usaha memperluas rangkaian pilihan BMW Motorrad, selain menetapkan penanda aras baru dalam industri,” katanya sewaktu majlis pelancaran motosikal itu.

Enjin sebaris kompak

Kedua-dua model varian BMW dilengkapi enjin berkapasiti 1,649cc dengan berat cuma 102.6 kilogram (kg). Ia merupakan enjin enam silinder sebaris paling ringan pernah dihasilkan untuk motosikal berseseran lebih 1,000cc.

Lebar enjin itu dikatakan sepanjang 56 sentimeter. Rangkaian kuasa jentera tersebut berupaya menjana 160 kuasa kuda pada 7,750 rpm (putaran per minit). Tork maksimum ialah 175Nm pada 5,250rpm. Lebih 70 peratus tork maksimum dapat diperoleh pada takat 1,500rpm.

Enjin berkuasa itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Model K 1600 GT dan K 1600 GTL masing-masing berupaya mencapai kelajuan maksimum 250 kilometer sejam (km/j) dan 220km/j.

Berhubung penggunaan bahan api, pada kelajuan dikekalkan 90km/j, K 1600 GT menggunakan 4.5 liter untuk setiap 100km. Jika kelajuan mencecah 120km/j, ia menggunakan 5.7 liter bagi setiap 100km.

Model K 1600 GTL pula menggunakan 4.6 liter bagi setiap 100km pada kelajuan 90km/j dan 5.9 liter untuk kelajuan 120km/j.

Kombinasi binaan yang ringan dan teknik terbaru membolehkan berat kedua-dua jentera berjaya dikurangkan. Berat K 1600 GT ialah 319kg manakala K 1600 GTL seberat 348kg.

Posisi casis dan enjin termasuk tempat duduk penunggang turut menurunkan pusat graviti motosikal, sekali gus memberikan imbangan pembahagian beban roda untuk tunggangan terbaik. Tujuannya menawarkan ciri pengembaraan lebih baik, berkuasa dan mengekalkan kelancaran jentera.

Kedua-dua model itu memiliki kedua-dua posisi tempat duduk ergonomik tanpa menjejaskan keupayaan tunggangan yang dinamik, selain aplikasi lampu hadapan jenis xenon, kawalan jelajah (cruise control) dan komputer binaan dalam.

Bagi varian K 1600 GTL, ia menawarkan pengembaraan gaya mewah menerusi beberapa kelainan. Antaranya termasuk dua tahap tempat duduk, tempat letak kaki penunggang lebih luas, adunan warna krom, lampu kabus, kotak utiliti dan hendal yang agak ke belakang untuk postur lebih santai sewaktu menunggang.

Tiga mod enjin disediakan untuk kedua-dua varian iaitu Rain, Road dan Dynamic. Masing-masing untuk perjalanan atas jalan basah, pengembaraan biasa dan prestasi sport.

Jentera itu dilengkapi teknologi sistem Electronic Suspension Adjustment II (ESA II) yang menyelaras kekerasan atau kelembutan keseluruhan sistem suspensi motosikal. Bagi pemanduan malam, lampu depan mudah suai disediakan untuk pencahayaan tambahan dan ia amat berkesan sewaktu mengambil selekoh.

Panel instrumen merangkumi meter kelajuan, takometer dan skrin paparan berwarna TFT bersaiz 5.7 inci. Skrin berwarna pertama pada motosikal dalam industri.

Selain itu, kedua-dua model itu dilengkapi multi kawalan elektronik pada bahagian hendal kiri untuk mengubah atau mengendalikan fungsi-fungsi sedia ada termasuklah sistem audio, komputer binaan dalam, ESA II, sistem navigasi dan pemanasan kerusi.

Harga atas jalan tanpa insurans bagi K 1600 GT ialah RM158,000 seunit. Sementara K 1600 GTL ditawarkan pada harga M168,000 sebuah. Untuk ketenangan minda, jaminan dua tahun tanpa had perbatuan diberikan.

Jentera tourer ini ternyata membuka dimensi baru keseronokan tunggangan menerusi adaptasi teknologi terkini dan inovasi yang lazimnya dimiliki kenderaan empat roda BMW.

Komen Sop: Bila agaknya mampu milik sebijik nih? Huhuhi

Posted via Galaxy Tab


EmoticonEmoticon