03 June 2011

Bekas pemain Piala Presiden T-Team dedah terima suapan dari bookie

Jika perkara ini menjadi tren, prestasi sukan bola sepak negara kita akan hancur. Tindakan yang bukan sahaja merosakkan prestasi pemain tetapi pasukan itu sendiri. Apabila dilihat pengakuan yang dibuat, sebab utama ialah ingin mendapatkan kemewahan mudah. Demi wang ringgit, semua perkara digadaikan seperti prestasi, maruah, agama dan sebagainya.

Tindakan perlu diambil untuk mengatasi masalah ini untuk memastikan ia tidak berterusan. Jika tidak, sukan bola sepak hanya sekadar 'sukan kampung' sahaja nanti kerana tidak mungkin dapat pergi jauh dengan wujud rasuah dalamnya.

KUALA TERENGGANU: “Saya manusia biasa yang punya keinginan untuk memakai pakaian berjenama, menjamah makanan di restoran mewah dan bergaya seperti anak muda lain. Kini saya sedar semua itu tidak memberikan kepuasan sebenar jika menggunakan wang haram dan lebih rela hidup sederhana dengan punca pendapatan halal.”
Demikian pengakuan seorang bekas pemain pasukan bawah 21 tahun Piala Presiden T-Team, Terengganu yang mengambil rasuah daripada bookie dalam kejohanan tahun lalu yang jumlahnya lebih enam kali ganda daripada pendapatannya yang tidak sampai RM1,000 sebulan.
Duit yang saya terima...daripada orang yang saya kenali dalam pasukan. Saya tidak tahu...berapa jumlah diberikan bookie
Bekas pemain Anak kelahiran Kuala Terengganu yang kini bermain untuk pasukan negeri lain, mengakui dia hanya beberapa kali menerima wang sogokan, tetapi tidak pernah bersemuka dengan bookie yang bertindak sebagai pengatur perlawanan.
“Nipisnya iman saya ketika itu dan menyesal kerana termakan hasutan kawan yang menyebabkan saya sanggup menerima suapan wang untuk memastikan pasukan tewas di tangan lawan. Gelap mata saya seketika apabila disogokkan wang lebih enam kali ganda pendapatan bulanan saya.
“Saya sememangnya takut dengan rasuah bola sepak dan enggan terbabit, namun apakan daya, saya terlalu lemah untuk menolak hasutan syaitan dan akhirnya sanggup menggadai maruah demi wang.
"Duit yang saya terima beberapa kali itu datangnya daripada orang yang saya kenali dalam pasukan. Saya tidak tahu dan tidak mahu tahu berapa jumlah sebenar yang diberikan bookie," katanya sambil mengakui jiwanya tidak tenang selepas terbabit rasuah walaupun mengaku puas seketika kerana dapat berbelanja seperti orang berada.
Namun, dia kini saya sedar semua itu tidak memberikan kepuasan sebenar dan kini lebih rela hidup sederhana dengan sumber pendapatan yang halal.
Rakannya dalam skuad musim lalu tetapi kini mewakili pasukan di selatan tanah air pula berkata ramai pemain terjebak dalam rasuah mengatur keputusan perlawanan akibat pujuk rayu rakan sepasukan yang mewakili bookie.
"Tanpa individu itu, saya percaya kami tidak mungkin dapat dipengaruhi oleh bookie dan kemungkinan besar kebanyakan kami masih boleh mewakili pasukan negeri kelahiran. Saya harap pemain baru tidak mengikut jejak kami walaupun ganjaran bookie melimpah ruah jumlahnya," katanya.

Seorang lagi pemain berkata dia bersyukur kerana masih berpeluang mencari rezeki dengan bermain bola sepak walaupun bukan dengan pasukan T-Team atau Terengganu.
"Sebagai anak jati negeri ini, memang saya lebih suka tinggal di sini, namun atas kesilapan sendiri yang gagal mengawal nafsu dan termakan hasutan bookie, saya terpaksa merantau mencari rezeki,” katanya yang yakin dia dan rakan lain akan berfikir banyak kali jika gaji yang dibayar oleh pasukan itu tahun lalu lebih tinggi.
Ini kerana pendapatannya sebagai pemain kini lebih RM2,500, sedangkan gaji ketika bersama T-Team tidak sampai RM1,000.
"Setakat yang saya tahu, tahun ini pun tidak ada pemain Piala Presiden T-Team menerima pendapatan melebihi RM1,000. Pengurusan perlu memikirkan semula ganjaran kepada pemain kerana mereka tidak mempunyai pendapatan lain sedangkan terpaksa berlatih pagi dan petang," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pengurusan T-Team musim lalu, memaklumkan mereka sudah dihubungi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRRM) dan akan memberi keterangan dalam masa terdekat berhubung pendedahan rasuah membabitkan bekas pemain pasukan itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Yusoff Mohd Zin, berkata pihaknya belum menerima laporan berhubung kegiatan mengatur perlawanan membabitkan pasukan T-Team dan skuad Piala Presiden.
"Bagaimanapun, kita harap kerjasama daripada orang ramai untuk membuat laporan jika ada maklumat mengenai kegiatan mengatur perlawanan membabitkan mana-mana pasukan," katanya.
Ketua Jurulatih semasa T-Team, Yunus Alif, pula menjelaskan pihaknya tidak mengesan mana-mana pemain yang terbabit rasuah dan mengatur perlawanan walaupun prestasi mereka tahun ini tidak konsisten.

“Prestasi tidak menentu pasukan disebabkan keletihan kerana jadual perlawanan agak ketat dan tidak dapat menurunkan kesebelasan utama kerana kecederaan. Kita sentiasa memantau dan setakat ini tiada tanda mereka terbabit rasuah," katanya ketika diminta mengulas prestasi pasukan T-Team yang mencetuskan kemarahan penyokong hingga ramai yang mendesak jurulatih dan pengurusan pasukan ditukar.


EmoticonEmoticon