11 August 2010

Refleksi puasa - hari pertama


Refleksi puasa ini adalah berkaitan dengan diri Sop sebagai rujukan, renungan dan untuk penambahbaikkan. Rakan-rakan digalakkan memberi komen yang bernas untuk kebaikkan Sop dan juga sebagai perkongsian bersama.

Sahur - permulaan yang baik yang mana selera untuk bersahur memuaskan. Walaupun hanya lauk biasa tetapi tetap berselera untuk makan. Kebiasaan sahur peringkat awal puasa kurang berselera untuk makan kerana perubahan waktu makan. Pastikan makanan tidak terlalu pedas untuk mengelakkan perut meragam. Minum air secukupnya untuk menampung keperluan air seharian berpuasa.

Kerja - Pada awal pagi mata agak mengantuk kerana selepas bersahur, solat dan bersiap untuk ke tempat kerja. Rutin pagi sebelum puasa ialah minum nescafe untuk membantu kesegaran pagi. Beberapa kali mata terpejam semasa mengadap komputer. Pada tengah hari, mata terus mengantuk sehingga mood menjalankan tugas terjejas. Ini kerana minda tidak dapat fokus sepenuhnya apabila mata agak mengantuk. Diharapkan dapat menyesuaikan diri dalam masa terdekat dan dapat fokus kepada tugasan kembali seperti biasa. Untuk mengelakkan dari mengantuk, blogwalking kerap dilakukan tadi sambil membuat tugasan.

Perut tidak begitu lapar kerana sebelum puasa telah biasa tidak makan tengah hari. Rutin biasa ialah makan berat di waktu sarapan pagi. Pada belah petang, perut sedikit lapar dan badan juga terasa penat. Namun begitu, ibadah puasa masih berjalan lancar.

Berbuka puasa - hari ini berbuka puasa bersama mertua. Singgah ke pasar Ramadan untuk membeli sedikit juadah tambahan. Berbuka puasa secara sederhana sahaja iaitu sebiji kurma, 1 kuih dan nasi.

Terawih - ke masjid sebelum Isyak. Alhamdulillah, ramai yang datang untuk bersolat. Semasa solat, perasaan mengantuk juga ada. Hanya melakukan 8 rakaat sahaja solat terawih. Perlu diperbaiki untuk hari berikutnya.

Rumusannya, puasa hari ini berjalan lancar tetapi perubahan hari pertama amat memberi kesan. Oleh itu, diharap boleh dibuat penambahbaikkan untuk hari kedua puasa dan seterusnya.

Nota kaki: Perlu tidur awal untuk memastikan mata kurang mengantuk!


EmoticonEmoticon