Pengalaman di sengat lebah
Pengalaman berlaku semalam tetapi tidak dapat membuat entry semalam kerana kepenatan. Entry mengenai perjalanan kami ke Kedah pun masih belum selesai dan mungkin akan disambung selepas ini.
Cerita aku disengat lebah bermula semasa perjalanan ke tempat kerja pada jam 7.35 pagi di pusat bandar Kuala Lumpur. Semasa itu melalui Jalan Sultan Ismail untuk ke Jalan Duta. Entah dari mana, seekor lebah telah hinggap di tangan aku ketika menunggang motosikal. Aku perasan lebah ditangan aku apabila terasa sakit kerana lebah tersebut telah mula menyengat aku.
Aku cuba menyentap tangan untuk memastikan lebah itu terlepas dari tangan. Sekiranya aku menggosok kepada motor atau jaket, mungkin sengat lebah akan tersangkut dalam kulit tangan aku. Oleh itu, aku menyentap beberapa kali tetapi masih gagal. Lebah tersebut masih setia melekap pada tangan aku. Ketika itu, aku masih menunggang motosikal.
Akhir sekali aku cuba sekali menyentap tangan aku sekuatnya dan akhirnya lebah tersebut tertanggal tetapi bukan sahaja yang tertanggal, malah jam tangan aku juga. Jam tangan aku tercampak ke tengah jalan dan aku cuba berhenti di tepi jalan untuk mengambilnya. Ketika itu juga, kereta lalu lalang dan beberapa buah kereta telah memijak jam tangan aku.
Selepas melihat beberapa kali jam aku dipijak, rasanya tiada harapan untuk jam aku selamat. Oleh kerana cinta aku terhadap jam tersebut, aku gagahkan juga untuk mendapatkannya selepas jalan reda.
Alangkah terkejutnya aku apabila jam aku masih berfungsi dan cermin masih kekal. Cuma pin untuk tali jam telah berkecai ketiga-tiganya. Terdapat kesan-kesan calar akibat campakan dan pijakan kereta tersebut. Alhamdulillah, masih bernyawa jam aku.
Kesan dari sengatan lebah tersebut, tangan aku sedikit bengkak. Sepanjang perjalanan ke pejabat, berdenyut-denyut. Petang semalam, rasa seperti mahu demam dan malam tadi aku tidur awal. Pagi ini terpaksa ke pejabat kerana banyak urusan.
Sehingga malam ini, tangan masih merah dan terasa gatal-gatal. Badan juga seperti mahu demam dan telah diback up dengan panadol. Harap-harap cepat sembuh dan aku tidak demam kerana masih banyak urusan pejabat yang perlu diselesaikan. Kalau hari Sabtu, boleh demam..huhuhuhu
EmoticonEmoticon