30 January 2010

Kesan mengambil ubat menguat tenaga batin

Awas kepada lelaki yang ghairah mengambil ubat untuk menguatkan tenaga batin kerana pakar perubatan mendedahkan ubat berkenaan boleh memberi kesan sampingan yang menghakis ciri kejantanan iaitu buah dada mereka boleh membesar seperti wanita hingga terpaksa memakai coli.

Ini kerana, banyak ubat menguatkan tenaga batin lelaki yang terdapat di pasaran sekarang sama ada jenis krim, herba atau makanan kesihatan tambahan didapati mengandungi streroid dan perangsang hormon wanita dinamakan estrogenik.

Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thamby , berkata steroid dan estrogenik dikenal pasti antara punca utama yang menyebabkan lelaki mengalami masalah gynecomastia atau tumbesaran buah dada.

Beliau berkata, selain ubat penguat tenaga batin lelaki, steroid dan estrogenik juga menjadi ramuan utama dalam ubat penyakit gastrik dan penenang minda.

“Dan ini bermakna, lelaki yang mengambil ubat gastrik dan penenang minda tanpa kawalan atau tidak mengikut panduan doktor juga berisiko mengalami gynecomastia iaitu buah dada mereka membesar. Jika pun saiznya tidak sampai ke tahap sama besar dengan buah dada wanita, yang pasti ia lebih besar berbanding lelaki normal,” katanya.

Dr Ismail berkata, pemerhatiannya mendapati jumlah lelaki yang mengalami gynecomastia di Malaysia semakin meningkat kebelakangan ini dan sebahagian besar mereka tidak tahu ia berlaku disebabkan kesan sampingan ubat penguat tenaga batin, gastrik atau penenang minda.

Menurutnya, kebiasaannya pada peringkat awal penghidap gynecomastia tidak mengetahui atau menyedari mereka menghidap penyakit itu namun berasa ada sesuatu yang tidak kena apabila buah dada mereka berasa sakit dan ada ketulan isi di bawah puting.

“Ketulan keras menunjukkan bahawa seseorang itu menghidap barah payudara tetapi bagi gynecomastia, ketulannya lembut dan ia sakit apabila disentuh. Jika ada tanda-tanda awal ini, segeralah jalani pemeriksaan doktor,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Ismail mengakui masalah buah dada besar di kalangan lelaki turut berkait rapat dengan obesiti atau berat badan berlebihan, namun itu tidak bermakna perkara ini normal kerana nisbah secara rawak menunjukkan daripada empat lelaki obes, seorang akan menghidap gynecomastia.

“Jika lelaki obes menghidap gynecomastia, apabila mereka mengurangkan berat badan, berat badan dan saiz perut mereka mungkin berkurang tapi buah dada mereka akan meleper dan londeh,” katanya.

Selain itu, kata Dr Ismail, masalah gynecomastia juga berlaku akibat kanser alat sulit dan berkaitan baka yang boleh menyebabkan gangguan hormon testosterone.

Menurutnya, disebabkan semakin ramai lelaki menghidap gynecomastia, kini sudah terdapat coli khas untuk lelaki yang berfungsi menutup buah dada mereka daripada kelihatan terbonjol hingga menimbulkan rasa tidak selesa dan memalukan.

Oleh itu, Dr Ismail berharap lelaki yang ghairah atau taksub untuk menguatkan tenaga batin supaya berfikir panjang dengan turut memikirkan kesan sampingan ubat yang mereka ambil bagi mengelakkan buah dada mereka semakin membesar.

Dipetik dari: malaysiaria.ning.com


EmoticonEmoticon