Penulis blog wajib tulis perkara benar


Sop sangat setuju dengan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam persidangan Blogger Asia dan Media Sosial 2010. Artikel yang dipetik dari Berita Harian 29 Julai 2010 telah menerangkan maksud keseluruhanya. Ikuti artikel tersebut di bawah:


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa penulis blog supaya berpegang teguh dengan kod etika untuk menulis perkara benar demi kebaikan masyarakat supaya mereka dan blog masing-masing lebih dihormati.


Bekas perdana menteri itu berkata, kod etika itu perlu diwujudkan secara sukarela demi kebaikan penulis blog sendiri kerana ia bakal membina reputasi mereka di mata orang ramai.


Dr Mahathir, yang juga seorang penulis blog berkata, masyarakat kini mempunyai akses kepada blog, satu medium yang hampir di luar kawalan mana-mana pihak berkuasa dan jika mereka mematuhi kod etika untuk menulis perkara yang benar saja, lebih ramai orang akan membacanya.
Jika kita bersandarkan kepada kod etika sebegini dalam setiap penulisan kita, saya fikir lama-kelamaan, orang ramai akan menghormati blog. Jika kita tidak menulis perkara yang benar, mereka akan meninggalkannya seperti yang berlaku kepada media biasa ketika ini, katanya dalam ucaptama pada persidangan Blogger Asia dan Media Sosial 2010 di sini, semalam.


Persidangan dua hari itu dihadiri 400 peserta dari benua Asia.


Dr Mahathir berkata, walaupun blog menyediakan ruang bagi kebebasan menulis apa dikehendaki secara mutlak, namun penulisnya masih perlu bertanggungjawab terhadap penulisan mereka serta tidak menyalahgunakannya.


Tidak boleh menyatakan perkara buruk atau memaki hamun orang lain, jangan buat begitu, orang akan marah dan mereka boleh mengambil tindakan terhadap kita. Kita mesti ada bukti untuk setiap yang kita nyatakan, katanya.
Beliau berkata, penulis blog mempunyai kelebihan dari segi kebebasan, namun mereka mesti menggunakannya dengan penuh tanggungjawab bagi membentuk pemikiran ke arah membina masyarakat dunia lebih baik demi kebaikan umum.


Tidak ada sesiapa boleh menghalang atau membetulkan kita, kerana kita berkuasa (kerana) kitalah penulis, penyunting dan juga penerbit. Apabila memiliki senjata, jangan gunakan (untuk menembak) sesuka hati. katanya.


Beliau berkata, sesetengah blog amat bagus, namun ada tidak berguna, justeru kemahiran diperlukan bagi mengenal pasti kebenarannya. BERNAMA
Previous
Next Post »