Panduan permakanan kanak-kanak

GAYA hidup kanak-kanak kini semakin sibuk terutama kanak-kanak sekolah rendah. Setelah tamat tadika, mereka harus menyesuaikan diri dengan jadual 'sekolah betul' yang meliputi kelas pelajaran, peperiksaan, aktiviti kokurikulum dan sukan.

Jadual persekolahan juga sungguh padat kerana menghadiri tuisyen dan sesi perkembangan diri seperti muzik, tarian dan taekwando.

Oleh itu, pemakanan yang baik amat penting untuk membekalkan mereka tenaga dan zat makanan mencukupi bagi memenuhi keperluan harian serta pertumbuhan fizikal dan mental secara optimum.

Pemakanan yang baik juga membantu untuk mengatasi jadual padat mereka dengan lebih berkesan.

Tabiat pemakanan yang baik

Makanan yang berkhasiat saja tidak mencukupi untuk mencapai kesihatan yang baik. Kita juga perlu mengamalkan tabiat makan yang baik.

Apa yang penting, tanamkan prinsip 'jangan tinggal waktu makan' anak kerana amalan sedemikian memudaratkan kesihatan dengan menghindarkan tubuh daripada menerima tenaga dan zat makanan.

Sarapan sangat penting tetapi satu pertiga daripada kanak-kanak sekolah rendah di negara ini pergi ke sekolah dengan perut kosong.

Pastikan anak anda bukan antara mereka kerana sarapan memberi manfaat dengan meningkatkan daya tumpuan dan kecergasan di dalam kelas.

Kanak-kanak sekolah harus mengikuti waktu makan dan perlu melakukan pilihan makanan yang bijak untuk mencapai berat badan yang sihat.

Kanak-kanak sekolah memerlukan tiga hidangan utama dan dua snek setiap hari. Oleh itu, pastikan hidangan utama mereka seimbang dan jadikan waktu snek itu suatu 'hidangan kecil yang sihat' dan bukannya pilihan makanan berkalori kosong.

Selain itu, biarkan anak-anak menguruskan pemakanannya sendiri. Lazimnya, anak-anak makan apabila lapar dan berhenti setelah kenyang.

Jika dia dipaksa untuk menghabiskan semua makanan pada setiap waktu makan, ini akan mengganggu rasa kenyang semula jadi dan jika berterusan, anak akan berlebihan berat badan.

Pengambilan makanan yang berminyak dan manis secara kerap boleh memudaratkan kesihatan. Justeru, ibu bapa perlu memberi petunjuk untuk memilih makanan yang lebih sihat dari peringkat awal kerana tabiat makan yang diamalkan sejak kecil akan berterusan ke peringkat dewasa.

Sekiranya anak anda membeli makanan di kantin sekolah, eloklah jika anda mengetahui jenis makanan yang dijual di situ. Jika tidak, minta anak ceritakan jenis makanan yang dibelinya dari kantin. Ambil peluang ini untuk berkongsi asas pemakanan dengannya supaya dia lebih bijak memilih makanan ketika anda tidak bersamanya.

Bijirin dan produk bijirin

Kanak-kanak sekolah mendapat kebanyakan tenaga mereka daripada bijian seperti beras, gandum, oat, barli dan produk bijirin seperti bijirin sarapan pagi, nasi, mi dan roti.

Makanan ini menyumbangkan 50 hingga 60 peratus daripada jumlah pengambilan tenaga harian mereka. Namun, bukan semua bijirin adalah sama. Daripada segi khasiat, bijian penuh mengandungi lebih banyak vitamin B dan E, zat besi, zink, phytonutrien dan serat makanan, yang lebih sihat berbanding bijian terproses.

Tambahan pula, bijian memerlukan masa yang lebih lama untuk dihadamkan di dalam tubuh dan dapat mengekalkan penjanaan tenaga secara berterusan. Jadi, semangkuk bijirin sarapan bijian penuh pada waktu pagi dapat memastikan anak anda kekal cergas untuk menghadapi pelajaran dan aktiviti di sekolah.

Daging atau pengganti daging

Daging, makanan laut, ayam dan telur membekalkan sumber protein serta zat makanan untuk pertumbuhan dan pelbagai fungsi tubuh seperti pertumbuhan kuku dan membina sel pertahanan.

Protein juga boleh diperolehi daripada tumbuhan seperti kacang hijau, kacang dal dan kekacang. Walaupun protein diperlukan untuk pelbagai proses dalam tubuh, ia seharusnya meliputi 10 hingga 15 peratus saja daripada jumlah pengambilan tenaga harian.

Ini termasuk setengah hingga dua hidangan ayam, daging atau telur, satu hidangan ikan dan setengah hingga satu hidangan kekacang setiap hari.

Contoh satu hidangan makanan yang kaya protein ialah seketul paha ayam, dua biji telur, seekor ikan kembung atau ikan selar bersaiz sederhana, dua keping keping tempe atau secawan kacang dal.

Susu dan produk tenusu

Kumpulan ini membekalkan kalsium dan fosforus yang diperlukan kanak-kanak untuk pertumbuhan tulang dan gigi. Susu, yogurt dan keju juga sumber protein yang baik. Anda boleh tambahkan susu kepada bijirin sarapan penuh untuk hidangan yang lebih berkhasiat.

Buah-buahan dan sayuran

Hidangkan pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran beraneka warna dalam menu harian anak anda. Kumpulan berwarna kuning seperti betik, mangga, labu dan lobak merah kaya dengan karetenoid yang ditukarkan kepada vitamin A dalam tubuh.

Buah-buahan seperti anggur, kiwi dan jambu kaya dengan vitamin C sementara sayuran hijau seperti bayam dan kailan tinggi kandungan zat besi.

Anak-anak harus digalakkan mengambil dua hidangan buah-buahan dan tiga hidangan sayuran setiap hari. Contoh satu hidangan termasuk sepotong nanas, tembikai atau betik; sebiji pisang sederhana; epal, oren atau pir; setengah cawan sayuran berdaun yang dimasak atau setengah cawan sayuran jenis buah atau ubi (seperti lobak) yang sudah dimasak.

Lemak dan minyak

Lemak dan minyak kerap dianggap sebagai pilihan makanan yang tidak baik dalam pemakanan. Sebaliknya, lemak dan minyak ialah sumber asid lemak perlu yang penting untuk kesihatan.

Lemak juga diperlukan untuk mengangkut vitamin larut-lemak seperti vitamin A, D, E dan K dalam tubuh. Namun, tidak perlu sengaja menambahkan lemak dalam diet anak kerana hanya jumlah sedikit saja yang diperlukan.

Ia diperolehi daripada minyak digunakan dalam masakan, lemak daging, produk tenusu dan susu, ikan berminyak seperti ikan sardin dan tuna serta roti.

Pastikan anak-anak mendapat khasiat setiap waktu makan iaitu sarapan, snek waktu pagi, makan tengah hari, snek tengah hari dan makan malam.

Ikuti lima panduan praktikal ini untuk memastikan sajian sihat untuk anak-anak:

Sediakan sarapan yang cepat dan sihat seperti bijirin. Semangkuk bijirin hanya mengambil masa dua hingga tiga minit untuk disediakan.

Selain mudah dan cepat, bijirin sarapan boleh dimakan dengan pelbagai cara seperti dicampur susu dan buah-buahan segar.

Sediakan snek berkhasiat. Kanak-kanak menganggap pengambilan snek seperti saat ganjaran, oleh itu waktu ini memberikan peluang untuk kita memperkenalkan makanan snek yang sihat kepada anak-anak.

Snek yang sihat termasuk biskut bijian penuh, kacang, keju, yogurt atau bertih jagung. Lengkapkan hidangan ini dengan segelas jus buah-buahan.

Tambahkan bahan berkhasiat dalam makanan kegemaran anak-anak. Anda perlu kreatif supaya anak menikmati makan tengah hari yang berkhasiat.

Jika anak gemarkan sandwic, pilih sapuan berkhasiat seperti mentega kacang, krim keju rendah lemak dan gunakan pemotong biskut supaya bentuk sandwic nampak menarik.

Ceriakan sesi makan. Pastikan masa makan malam menyeronokkan sambil menyihatkan untuk anak-anak.

Untuk hidangan berasaskan beras, tambah sayur yang digemari mereka seperti lobak merah, jagung, kacang hijau yang direbus atau ubi panggang sebagai hidangan sampingan.

Untuk ketulan ayam, salutkan dengan serpihan oat atau bijian penuh, menjadikan hidangan lebih sihat. Hiriskan epal atau oren sebagai sajian pencuci mulut.
Pilih makanan sihat yang mereka gemari. Tahukah anda jenis makanan yang amat digemari kanak-kanak?

Antaranya bijirin, telur dan susu. Penting untuk memberikan pilihan makanan yang lebih sihat supaya kanak-kanak dapat memperoleh khasiat dan keenakan makanan berkenaan.

Sumber: hmetro.com.my
Previous
Next Post »