Auni kena penyakit kaki, tangan dan mulut

Selamat sejahtera kepada semua rakan.

Auni kena penyakit kaki, tangan dan mulut
Tidak senyum seperti kebiasaan
Minggu lepas, sepupu Auni telah mendapat penyakit kaki, tangan dan mulut ini. Selepas disahkan oleh doktor mengenai penyakit ini, kami sekeluarga mula memantau Azfar, Azwar dan Auni kerana pada minggu lepas mereka ada berjumpa dan bermain. Kemungkinan ada hubungan langsung dan akan berjangkit.

Pada mulanya Azfar demam pada minggu lepas tetapi setelah pemeriksaan doktor didapati Azfar hanya demam biasa. Pada minggu ini, baru Auni pula yang demam setelah beberapa hari sakit mulut. Setelah berjumpa doktor, disahkan bahawa Auni terkena penyakit kaki, tangan dan mulut ini. Agak banyak juga bintik-bintik ruam dalam mulut Auni akibat penyakit ini. Ketika ini, Auni mula menangis dan tidak selesa terutama minum dan makan.

Hari pertama agak teruk kerana Auni langsung tidak makan. Hanya minum susu sahaja. Namun hari kedua lagi teruk kerana Auni mula merenget-renget tidak selesa. Mungkin sakit kerana telan air liur. Jika minum, terus Auni menangis.

Doktor telah memaklumkan penyakit kaki, tangan dan mulut ini tiada ubat dan ia akan baik sendiri. Namun begitu, perlu dipastikan jaga demam dan sentiasa minum. Tidak makan masih OK tetapi jangan sampai tidak minum. Pening juga kami dibuatnya apabila Auni asyik menangis dan merenget. Pasti kerana sakit tekak. Kesian sangat apabila melihat Auni hendak makan tetapi terus menangis apabila menjamah makanan tersebut. Kami telah beli macam-macam untuk tarik Auni untuk makan tetapi apabila dirasanya terus menangis. Sakit! Itu yang Auni ucapkan ketika menjamah makanan. Kesannya langsung tidak makan untuk 2 hari ini.

Dalam masa yang sama, kami tetap paksa makan ubat demam. Auni menangis ketika makan ubat mungkin kerana 2 faktor iaitu sakit dan tidak suka makan ubat. Bab makan ubat, memang kami paksa Auni makan. Ia untuk kebaikkan Auni juga bukan?

Auni kena penyakit kaki, tangan dan mulut
Bercakap pun tidak boleh kerana sakit
Malam ini, kelihatan kurang sikit Auni menangis tetapi masih belum boleh makan. Mungkin kerana sakit mulut semakin kurang. Semoga esok Auni akan semakin sembuh. Amin

Berikut sedikit maklumat mengenai penyakit Kaki, Tangan dan Mulut yang dipetik dari FB Klinik Keluarga:

PENYAKIT KAKI TANGAN DAN MULUT

Pengenalan:
Penyakit tangan, kaki dan mulut ialah sejenis jangkitan virus yang disebabkan oleh beberapa kumpulan virus termasuklah enterovirus (setakat ini terdapat 66 jenis telah dikenalpasti).

Penyebab:
Terdapat beberapa jenis virus yang menyebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut. Virus yang biasa yang menjadi penyebab penyakit ini ialah virus Coxsackie A16. Kadang-kala terdapat jenis kuman virus lain seperti virus Coxsackie A atau enterovirus 71 yang boleh mencetuskan penyakit ini. Virus Coxsackie merupakan salah satu dari jenis virus yang terdapat di dalam kelompok virus yang dikenali sebagai enterovirus seperti virus Polio, virus Coxsackie dan Echovirus.

Di Malaysia, kuman Echovirus 7 atau Echo7 telah dikenalpasti sebagai virus yang menjadi punca kematian seorang kanak-kanak dan mungkin juga tiga kanak-kanak yang lain, baru-baru ini. Wabak penyakit HFM yang berlaku tempoh hari (Sarawak 1997) adalah disebabkan oleh virus Coxsackie dan Enterovirus 71 (EV71). EV71 telah disah menyebabkan 4 dari 31 kematian akibat penyakit ini di Sarawak pada 1997.

Cara penyakit ini merebak:
Penyakit tangan, kaki dan mulut ialah penyaki berjangkit yang sederhana. Ia merebak melalui sentuhan atau kontak secara langsung dengan lelehan yang keluar dari hidung dan tekak atau najis mereka yang telah dijangkiti kuman ini. Penyakit ini amat mudah berjangkit pada minggu pertama pesakit menghidapinya. Penyakit tangan, kaki dan mulut tidak boleh merebak kepada atau daripada binatang peliharaan ataupun binatang-binatang lain.

Tempoh pengeraman dan peringkat bagi penyakit HFM:
Selepas seseorang itu dijangkiti kuman virus ini tempoh pengeramannya adalah di antara 2 hingga 6 hari. Gejala seperti demam dan ketidakselesaan pada mulut biasanya akan hilang pada hari ketiga atau keempat. Ulser mulut akan hilang pada hari ke 5 hingga 7 tetapi lepuh dan bintik-bintik merah di tangan, kaki akan hanya hilang dalam tempuh 10 hari. Demam berkemungkinan mencapai panas sehingga 39 C.

Faktor-Faktor Risiko
Kanak-kanak yang berumur di bawah 5 tahun amat mudah dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut. Walau bagaimanapun, penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur. Jangkitan ini akan menghasilkan daya tahan (imuniti) terhadap virus tertentu tetapi serangan atau episod yang kedua mungkin akan berlaku berikutan jangkitan dari beberapa jenis virus yang lain dalam kelompok enterovirus.

Tanda-Tanda Dan Gejala
Di antara gejala jangkitan ialah:

  • Demam
  • Sakit tekak
  • Ulser pada tekak dan mulut
  • Sakit kepala
  • Ruam bersama lepuh terdapat di tangan, kaki dan di kawasan lampin
  • Hilang selera makan

Komplikasi
Kemungkinan berlakunya sawan berikutan deman panas.

  • Kemungkinan berlakunya jangkitan pada sistem saraf (seperti Meningitis virus atau Ensefalitis).
  • Kemungkinan terdapatnya keradangan pada otot jantung (Myocarditis).

Komplikasinya sangat merbahaya dan boleh membawa maut.

Ujian-Ujian
Diagnosis penyakit tangan, kaki dan mulut boleh dilakukan berasaskan sejarah penyakit dan pemeriksaan fizikal. Biasanya pengesahan diagnosis melibatkan ujian darah yang dilakukan di makmal khas yang akan menentukan jenis virus yang terlibat.

Pemantauan
Sila hubungi doktor jika :-

  • Anak anda tidak membuang air kecil lebih dari 8 jam
  • Anak anda kelihatan begitu tidak sihat (kelihatan kusut, mengantuk, pucat atau berbelak-belak, resah atau meragam dan tidak dapat tidur atau berpeluh dingin)
  • Demam yang berpanjangan sehingga lebih daripada 3 hari.
  • Kesakitan pada mulut semakin teruk.
  • Anak anda mengalami lemah otot kaki dan tangan atau diserang sawan.

Jika anak anda ada menunjukkan simptom seperti di atas, dapat rawatan doktor segera. Jangan bersikap sambil lewa. Sebarang kelewatan untuk mendapatkan rawatan mungkin boleh menyebabkan kematian.

Prognosis
Kebanyakkan kes penyakit HFM adalah yang ringan dan sembuh sepenuhnya dalam masa 5 hingga 7 hari. Malangnya, sehingga hari ini kita tidak boleh menjangka siapa yang boleh sembuh dan siapa yang akan mengalami komplikasi yang menjurus kepada kematian.

Pencegahan
Kawasan di Malaysia yang mempunyai populasi terbesar terutamanya kawasan luar bandar, tidak digalakkan menggunakan ubat-ubatan tradisional dan merawat sendiri penyakit HFM jika telah disyaki. Penyakit HFM boleh menjangkiti mana-mana kanak-kanak dan di mana saja tanpa mengira kawasan geografi. Pengawalan penyakit daripada merebak mestilah diberikan keutamaan. Secara amnya, orang awam hendaklah mengikuti langkah-langkah berikut :-

  • Berhati-hati dan tumpukan perhatian kepada nasihat yang diberikan.
  • Kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda dan gejala penyakit HFM mestilah dibawa berjumpa doktor secepat mungkin. Jangan terlambat dalam mendapatkan rawatan.
  • Jangan bawa anak anda ke tempat awam seperti pasaraya, pusat membeli-belah, kolam renang awam, sekolah-sekolah, pusat penjagaan kanak-kanak dan lain-lain.
  • Anda mestilah lebih berhati-hati dari segi kebersihan semasa menyediakan makanan dan selepas keluar dari tandas. Basuhlah tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan dan sebelum dan selepas ke tandas.
  • Basuhlah tangan anda selalu terutamanya selepas menyalin lampin.
  • Permukaan yang telah tercemar hendaklah dibasmi kuman dengan menggunakan pencuci.
  • Basuh pakaian yang terkena kotoran secepat mungkin.
  • Jangan berkongsi barang kegunaan seperti tuala mandi, berus gigi, pakaian dan sebagainya.
  • Elakkan diri daripada mengikuti aktiviti luar rumah sehingga pihak berkuasa telah mengesahkan selamat untuk menjalani kegiatan harian.
  • Elakkan diri daripada mendekati pesakit penyakit HFM.
  • Pihak kesihatan hendaklah memeriksa tahap kebersihan di tempat di mana terdapat ramai kanak-kanak tinggal (contohnya tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak) dan arahkan supaya tempat itu ditutup jika tahap kesihatannya tidak mencapai tahap kebersihan yang sepatutnya.

Kanak-kanak yang dijangkiti penyakit HFM tidak dibenarkan mengikuti program di pusat penjagaan kanak-kanak, sekolah atau aktiviti berkumpulan yang lain.

Langkah berikut adalah cara lain untuk pencegah yang boleh diambil:-

  • Berikan rawatan di rumah untuk kes yang tidak disyaki penyakit HFM tetapi jika anda nampak tanda-tanda komplikasi seperti sakit pada leher atau pada tangan dan kaki, segera dapatkan rawatan doktor.
  • Jika demam anak anda masih tidak berubah selepas diberi ubat, segera berjumpa doktor semula.
  • Jika terdapat tanda-tanda dehidrasi (kulit dan membran mucus kering, turun berat badan, meragam, keletihan, kurang air kencingl atau air kencing berwarna gelap), segera berjumpa doktor.
Previous
Next Post »

14 comments

Write comments
23 March, 2014 00:09 delete

bahaya juga virus ni, mudah2han auni cepat sembuh dari penyakit tu..
syafakillah untuk auni..aminn

Reply
avatar
Sop Nama Saya
AUTHOR
23 March, 2014 01:09 delete

amin
terima kasih Nana :)

Reply
avatar
Fazrol
AUTHOR
23 March, 2014 01:11 delete

Semoga Auni cepat sembuh.. InsyaALLAH..

Reply
avatar
Sop Nama Saya
AUTHOR
23 March, 2014 07:45 delete

Amin
Terima kasih bro @Fazrol

Reply
avatar
23 March, 2014 09:21 delete

Assalam,

bahaya jugak penyakit ni ye?..kesian kan anak2 kecil yang kene jangkitan, yang dah besar sikit macam auni bolehlah beritahu kat mana sakit...

Kalau baby yang tak pandai bercakap lagi kesian kan..
Harap2 Auni dah beransur sembuh...

Reply
avatar
Aisyah Az
AUTHOR
23 March, 2014 13:20 delete

semoga cepat sembuh auni =(.. kena pantau selalu tu. May Allah ease everything

Reply
avatar
Hafizul
AUTHOR
23 March, 2014 16:53 delete

Terima kasih sop atas pendedahan ilmu pasal penyakit ni..semoga auni cepat sembuh..tengok muka macam tension aje tu...kesiannya...

Reply
avatar
Ummi Hanie
AUTHOR
24 March, 2014 12:23 delete

kesian auni... mudahan cepat sembuh ya.. amin

sakit barangkali ada ruam dlm mulutu tu kan?

Reply
avatar
25 March, 2014 00:20 delete

Lepas ni kena lebih berhati-hati ni.

Reply
avatar
Sop Nama Saya
AUTHOR
11 April, 2014 15:20 delete

terima kasih @Aisyah

Reply
avatar
Sop Nama Saya
AUTHOR
11 April, 2014 15:20 delete

terima kasih bro @PB

Reply
avatar
Sop Nama Saya
AUTHOR
11 April, 2014 15:21 delete

terima kasih Ummi
mmg byk ruam kat lidah dan tekak :)

Reply
avatar
Sop Nama Saya
AUTHOR
11 April, 2014 15:22 delete

terima kasih kembali bro @Hafizul

Reply
avatar