27 June 2013

Musim durian kini kembali

Selamat sejahtera kepada semua rakan.

Durian atau 'raja buah' adalah buah kegemaran ramai rakyat Malaysia tetapi ada juga yang tidak menyukainya. Ada yang suka tetapi tidak boleh bau dan ada yang suka, boleh bau tetapi tidak boleh makan kerana faktor kesihatan. Anda kategori mana?

Durian adalah buah kegemaran Sop. Walaupun tidak terlalu beria-ria makan tetapi setiap kali ada musim, selalu juga beli. Setakat 1 hingga 2 biji masih tiada masalah.

Durian John, Jalan Setapak Jaya
Sekarang ini, gerai-gerai durian di tepi jalan mula kelihatan. Di kawasan rumah Sop, ada beberapa gerai yang setiap tahun akan menjual durian. Ketika tiada musim, gerai tersebut akan ditutup. Masih baru lagi musim durian ini bermula dan kelihatan buah masih tidak banyak yang dijual.

Saiz kecil ni pun 2 biji RM 10
Menariknya pada awal-awal musim ini, sambutan durian amat menggalakan. Baru-baru ini, Sop bercadang untuk singgah untuk membeli durian tetapi tidak singgah dahulu kerana urusan lain. Ketika balik selesai urusan dan hendak singgah membeli durian, didapati semua durian telah habis!

Walaupun peringkat awal musim durian masih mahal tetapi tidak menghalang pelanggan untuk menikmati keenakan durian ini. Sop jangkakan durian akan murah ketika bulan puasa. Ketika inilah hendak makan durian kerana jika bulan puasa, mungkin durian tidak lagi dipandang :) Menu lain lebih banyak! Hehehe

Durian biasa
Selepas ini, kembali lagi durian crepe yang cukup popular sebelum ini.

Anda hantu durian tak? Heheheh

Maklumat ringkas tentang durian seperti berikut:

Durian ialah spesies beberapa jenis tumbuhan dalam genus Durio[2] yang menghasilkan buah beraroma kuat yang boleh dimakan. Ia amat terkenal di Asia Tenggara di mana ia digelar "raja buah". Saiznya besar, baunya unik dan isinya dilindungi oleh kulit yang berserat dan berduri. Daripada duri itulah ia mendapat namanya.[3] Buah durian boleh membesar sehingga 30 sentimeter (12 inci) panjang dan 15 cm (6 in) diameter, dan lazimnya seberat satu hingga tiga kilogram (2 hingga 7 lb). Bentuknya berbeza daripada bujur hingga bulat, warna kulitnya daripada hijau hingga perang, dan isinya daripada kuning pucat hingga merah, bergantung kepada spesies.

Durian ialah buah tropikal yang berasal dari Brunei, Filipina, Indonesia dan Malaysia, tetapi telah dikenali di dunia Barat sekitar 600 tahun. Ahli alamiah British abad ke-19 Alfred Russel Wallace masyhur memerikan isi buah ini sebagai "kastard kaya dengan rasa badam". Buah ini boleh dimakan walaupun belum betul-betul masak, dan digunakan sebagai perisa kepada pelbagai jenis makanan berperisa dan manis dalam masakan Asia Tenggara. Bijinya juga boleh dimakan jika dimasak.

Isi buah ini mengeluarkan bau yang tersendiri, kuat dan tajam walaupun kulitnya belum dibuka. Sesetengah orang menganggap bau durian sebagai semerbak; manakala yang lain berasa aromanya amat kuat dan tidak dapat ditahan. Baunya menarik reaksi daripada penikmatan mendalam kepada amat jijik, dan telah diperikan serupa dengan bau badam, bawang busuk, turpentin dan stokin gim. Bau ini telah menyebabkan larangan buah ini daripada sesetengah hotel dan pengangkutan awam di Asia Tenggara. (Sumber)


EmoticonEmoticon