10 November 2012

Garis panduan hak tebus rugi pengguna diterbitkan

PUTRAJAYA - Pengguna berhak untuk mendapatkan tebus rugi terhadap barangan atau perkhidmatan termasuk di premis perniagaan yang mempamerkan notis 'Pertukaran Tidak Dibenarkan' atau 'Tiada Pemulangan' jika barang yang diperoleh tidak memenuhi jaminan sepatutnya.

Antara jaminan yang perlu ada ialah mematuhi aspek kualiti, menepati ciri-ciri yang digambarkan dan mampu berfungsi dengan baik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bermakna peniaga yang meletakkan notis adalah tidak terkecuali daripada tanggungjawab kepada pelanggan yang tidak berpuas hati terhadap barangan atau perkhidmatan diberikan.

"Peniaga Yang meletakkan notis itu juga adalah tidak beretika kerana ia seolah-olah menafikan hak tebus rugi pengguna dan peniaga tidak sepatutnya meletakkan notis sedemikian," katanya pada sidang akhbar mengenai buku Garis Panduan Pelaksanaan Tebus Rugi Pengguna di sini semalam.

Akta Perlindungan Pengguna 1999 telah memperuntukkan kepada pengguna mengenai hak tebus rugi.

Katanya, kementerian mengeluarkan garis panduan itu bagi memperjelas hak dan tanggungjawab pembekal, pengilang dan pengguna dalam pelaksanaan tebus rugi.

"Hak Mendapat tebus rugi bermaksud hak mendapatkan penyelesaian tuntutan atau menerima pampasan bagi barang atau perkhidmatan yang tidak memenuhi jaminan yang dinamakan Gerenti Tersirat dan Gerenti Nyata," katanya.

Bagaimanapun, hak untuk mendapatkan tebus rugi tertakluk kepada syarat seperti melaporkan kerosakan barang atau kegagalan perkhidmatan kepada pembekal atau pengilang dalam tempoh masa munasabah.

Pengguna juga perlu menyimpan resit atau bukti pembelian, surat atau kad jaminan dan berhenti menggunakan barang yang rosak itu sehingga ia dapat dikembalikan kepada pembekal atau pengilang.

Sekiranya peniaga atau penjual masih enggan mematuhi permintaan pengguna yang mempunyai alasan munasabah, pengguna boleh mengambil tindakan menerusi Tribunal Pengguna, katanya. - Bernama


EmoticonEmoticon