22 July 2012

Refleksi Ramadhan - Hari Kedua


Salam Ramadhan kepada semua rakan. Moga diberkati selalu :)

Alhamdulillah, selesai sudah hari kedua kita berpuasa. Ada yang sudah ponteng?
Hari kedua Sop berpuasa berjalan lancar. Apabila hari minggu berpuasa, aktiviti hanya berada di rumah. Hanya mengurus aktiviti rumah serta berehat.

Pagi tadi bersahur seperti biasa, menu mesti nasi. Perut orang Melayu mana boleh tidak perkena nasi bukan? Nanti lemah satu anggota badan [hehehehe]

Petang tadi kami ke Pasar Ramadhan Wangsa Maju Seksyen 1. Ramai sungguh pengunjung sehingga gerai menjual makanan pun tidak boleh nampak. Suasana yang dipenuhi pengunjung tersebut, ada juga yang kurang perihatin dengan parking kereta di depan gerai jualan yang mengakibatkan kesesakan. Parking memang terhad kerana ramai pengunjung, jangan kerana pentingkan diri sendiri hendak mudah sampai menyusahkan orang. Bulan-bulan puasa patutnya lebih perihatin dengan orang lain, bukan?

Sop hanya hantar Mrs Sop untuk membeli juadah berbuka kerana Sop menunggu di dalam kereta. Maklum sahaja, parking tiada di kawasan tersebut. Lagipun, Baby Auni pun masih tidur semasa ke Pasar Ramadhan tersebut. Hanya Azfar dan Azwar yang menemani Mrs Sop. Semasa lalu di kawasan Pasar Ramadhan, boleh dililhat pelbagai juadah yang dijual. Jika ikut nafsu, pasti semua hendak beli!

Semalam telefon mak di kampung bertanya kabar tentang puasa. Sedih pula mendengar mak berbuka seorang diri. Lauk dimasak biasa-biasa sahaja. Ayah berbuka di masjid. Rasa macam hendak balik sahaja untuk menemani mak berbuka puasa. Awal puasa ini Sop lihat ramai yang sempat balik ke kampung untuk berpuasa bersama keluarga. Sop jika dekat, pasti balik juga tetapi memandangkan perjalanan memakan masa 6 - 8 jam serta hari Isnin tidak boleh bercuti dipendamkan sahaja niat tersebut.

Ada terbaca status facebook list rakan berbunyi:
Semasa bujang berbuka puasa seorang. Bila berkahwin, berbuka dengan isteri kemudian bertiga, berempat dan seterusnya apabila hadir anak-anak. Kemudian anak-anak besar dan berkahwin, kembali berbuka berdua sahaja. Nanti akan kembali berbuka seorang diri.
Malam ini, hanya solat sunat terawih hanya 8 rakaat. Ini kerana memikirkan esok bekerja dan perlu banyak persiapan yang perlu dibuat. Semasa rakaat ke 8, jam menunjukkan hampir 9.45 malam. Jika diteruskan 20 rakaat, lewat pula nanti. Dugaan... Sop tewas dengan keadaan!

Ini sahaja refleksi yang dapat dikongsi pada hari kedua puasa.
Anda bagaimana pula?


Sup bebola daging

Kuih dan jus buah

Nescafe untuk Sop

Ayam percik, Dim Sum

Suasana pasar Ramadhan Wangsa Maju Seksyen 1
Siapa suka Dim Sum?


EmoticonEmoticon