27 February 2012

Hati-hati memilih restoran halal

Makanan menjadi darah daging apabila kita memakannya. Kenapa Islam amat menitik berat jenis permakanan umatnya? Makanan yang baik memberi banyak kesannya dari segi kesihatan, emosi, keturunan dan sebagainya. Oleh sebab itu, Islam mengariskan makanan yang baik sahaja untuk dimakan.

Mengenai restoran halal, kadang-kala ada yang tidak kesah! Janji makanan sedap atau murah! Agak sedih jika perkara ini berlaku. Ada juga kes yang mana pelanggan umat Islam suka dengan masakan kaum lain yang bukan Islam.

Oleh sebab itu, kelihatan banyak kedai-kedai bukan Islam dipenuhi dengan pelanggan Islam. Terdapat juga pengusaha restoran yang menggunakan perkhidmatan warga Indonesia untuk mengelirukan pelanggan seolah-olah ia restoran halal.

Harap pihak berkuasa sentiasa memantau perkara ini.

Cerewet lebih baik


KUALA LUMPUR: Hanya melihat sama ada sesebuah restoran itu memaparkan logo halal serta ramai pelanggan Islam, itu petunjuk biasa bagi umat Islam sebelum memasuki sesebuah premis makanan walaupun makanan dijual dicurigai status halalnya.


Tinjauan Harian Metro semalam mendapati orang ramai berpendapat pihak berkuasa khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu bertindak proaktif mempromosikan kempen kesedaran selain mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha restoran yang menjual makanan dicurigai kepada pelanggan Islam.


Penuntut universiti, Nadia Jasni, 20, berkata kebiasaannya dia menganggap makanan di restoran yang memaparkan logo halal dan ramai pelanggan Islam sebagai halal.


“Saya tidak memeriksa secara teliti sama ada logo halal yang dipaparkan itu daripada Jakim atau swasta. Bila saya dapati ramai yang makan terutama keluarga Islam, saya anggap restoran itu menyediakan makanan halal,” katanya yang ditemui, semalam.


Menurutnya, pendedahan Harian Metro, Sabtu lalu, mengenai sebuah restoran memaparkan logo halal swasta, tetapi menjual makanan dipercayai tidak halal mengejutkan kerana ramai pihak tidak tahu.


“Pihak berkuasa perlu bertindak lebih tegas terhadap pihak yang masih menggunakan logo halal swasta kerana isu ini sensitif kepada umat Islam,” katanya.


Kakitangan swasta, Mohd Noor Ikhwan Jaimi, 30, berkata dia cerewet apabila mahu makan di sesebuah restoran walaupun memapar logo halal, mempunyai pekerja Islam serta ramai pelanggan Islam.


“Bila saya lihat nama restoran bukan Islam serta dimiliki orang bukan Islam, mula timbul rasa ragu-ragu, biasanya saya mengelak daripada memasuki premis seperti itu,” katanya.


Sehubungan itu, menurutnya, orang ramai perlu berhati-hati dan jangan ambil mudah terhadap status sesebuah restoran walaupun premis itu ada logo halal.


Pelajar, Noorain Mohd Said, 20, berkata pihak berkuasa bertanggungjawab menyedarkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memilih tempat makan.


“Tanpa tindakan proaktif pihak berkuasa, saya berpendapat ramai pelanggan Islam terus masuk ke sesebuah restoran dengan hanya melihat logo halal sekali imbas,” katanya.


Harian Metro kelmarin melaporkan sebuah restoran yang menggunakan logo halal swasta diserbu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selepas ujian ke atas sampel sup oleh makmal Taman Teknologi Malaysia (TPM) mendapati status makanan yang dijual meragukan. (myMetro)


EmoticonEmoticon