07 October 2011

Kumpulan lawak SEPAH berpecah

Komen Sop: Agak sedih juga dengar perpecahan kumpulan Sepah. Sop memang minat dengan dorang nih!

KUMPULAN Sepah yang dianggotai oleh Mohd. Nazri Zainal Abidin (Jep), 26, Shahmira Muhamad (Shuib), 27, dan Mohd. Noor Murad (Mamat) 26, telah pun mengumumkan pembubaran kumpulan mereka pada Ogos lalu atas sebab peribadi, tambahan mereka bertiga kerap mendapat tawaran secara individu bukannya berkumpulan.

Ramai yang terkejut dengan berita pembubaran itu kerana menyifatkan jenama Sepah sudah cukup kuat apabila kumpulan itu menjadi juara untuk program Raja Lawak musim ketiga dan Maharaja Lawak mengalahkan pelawak popular yang lain.

Belum pun reda dengan isu pembubaran kumpulan yang berasal dari Johor itu, baru-baru ini dua bekas ahli kumpulan Sepah, Jep dan Shuib mengumumkan mereka kini bergerak bersama di bawah nama Sepahtu. Ketiadaan Mamat dalam Sepahtu menjelaskan krisis yang berlaku ketika mereka masih dalam kumpulan Sepah.

"Sebenarnya ketika dalam program Raja Lawak musim ketiga lagi kumpulan kami (Sepah) bagai retak menanti belah dan ingin berpecah. Saya ingatkan ketika di atas pentas final saya ingin umumkan kami berpecah begitu juga halnya ketika program Maharaja Lawak, tetapi tidak adil untuk peminat yang mengundi kami, jadi saya diamkan sahaja masalah kami.

"Saya sudah bersabar terlalu lama. Bukan sekali dua kali tetapi sudah tiga tahun, saya memberi peluang, ruang dan nasihat kepada Mamat untuk memberi komitmen pada kumpulan Sepah sehingga sampai satu tahap kami sudah tidak boleh buat apa. Jadi jalan penyelesaian terbaik adalah berpecah meskipun kami bertiga sedar ramai yang tidak mahu melihat kami berpecah," ujar Jep yang menceritakan masalah sebenar yang dihadapi Sepah selepas dipaksa berkali-kali.

Jelas Jep lagi, perpecahan berlaku selepas dia berfikir semasak-masaknya dan berbincang sesama mereka bertiga. Malah, perpecahan Sepah adalah untuk kelangsungan jangka hayat mereka dalam bidang seni.

"Kalau satu kumpulan banyak masalah yang timbul ia akan menyusahkan banyak pihak. Bukan kami sahaja tetapi orang sekeliling yang bekerja dengan kami, jadi lebih baik berpecah dan ikut haluan masing-masing. Sebelum berpecah saya sedih dan tertekan tetapi apabila kami berpecah umpama beban di bahu saya hilang serta saya rasa lega," luah Jep sambil berhati-hati menutur kata bimbang kata-katanya melukai mana-mana pihak.

Disoal lagi mengapa tidak teruskan sahaja dengan nama kumpulan Sepah jawab Jep: "Mamat kata Sepah itu dia yang punya, jadi kami pun pilih guna nama baharu. Lagipun, nama Sepah itu untuk kami bertiga, saya, Shuib dan Mamat dan rasanya tidak adil untuk Mamat kalau kami guna nama Sepah."

Tambah Shuib yang merupakan suami kepada penyanyi Siti Sarah: "Sepahtu bermaksud Sepah dua atau sepatu yang digabungkan bermaksud kasut, kasut ada kiri dan kanan dengan jumlahnya dua. Oleh itu, sesuailah namanya dengan kami berdua."

Persahabatan yang terjalin antara mereka sudah lama, mungkin perpecahan kumpulan Sepah hanya bersifat sementara dan pada masa depan Mamat akan kembali semula dalam kumpulan Sepah. Ketika diajukan soalan itu buat Jep dan Shuin kedua-duanya terdiam sebentar, berfikir jawapan yang sesuai barangkali.

"Sudah cukup masa yang kami beri kepadanya. Sekarang saya sudah berhenti kerja dan bidang seni merupakan periuk nasi utama saya, mungkin sudah tertulis rezeki saya di sini. Saya rasa saya tidak akan terimanya kembali kerana saya ingin bekerja dalam bidang ini untuk satu tempoh yang lama, saya bimbang jika kami bersama masalah yang sama akan berulang," jawab Jep.

Respons Shuib pula: "Saya sudah ada keluarga dan tidak lama lagi akan menjadi ayah, tanggungjawab saya semakin besar. Saya tidak mahu kerana mahu menjaga hal orang membuatkan saya jatuh, bagi saya itu tidak adil. Kalau saya tidak ada duit, saya minta orang, mana ada orang nak bagi duit. Sekarang kami hanya mahu fokus pada kerja sahaja. Terima Mamat kembali, rasanya tidaklah."

Sungguhpun sudah berpatah arang, namun hubungan persahabatan antara mereka masih terjalin seperti biasa, cuma apabila ia membabitkan kerja mereka terpisah kerana memiliki ideologi yang berbeza.

"Kami masih baik, masih tegur antara satu sama lain, memang tidak ada sebarang masalah. Sekarang ini pun, saya berlakon dengannya dalam drama Superlawak FC. Bila jumpa di lokasi penggambaran, macam biasa tidak ada apa yang berubah," jelas Shuib yang dijangka akan mendapat anak lelaki dalam masa terdekat.

Selain itu, mereka bertiga juga bakal muncul dalam filem Sepah The Movie yang akan mula menjalani penggambarannya pada 17 Oktober depan.

"Kontrak filem Sepah The Movie telah kami tandatangani sebelum Sepah berpecah. Walaupun sudah berpecah, kami profesional bila bekerja. Kami bertiga berjumpa ketika sesi bacaan skrip dan memang tidak ada masalah untuk berlakon bersama.

"Kami sebagai kawan masih okey, cuma bab komitmen, saya sudah tidak boleh bertolak- ansur. Kami tidak menyingkirkan Mamat kerana perpecahan kami terjadi atas persetujuan bersama. Kiranya ini merupakan projek terakhir kami sebagai Sepah," kata Jep mengenai filem yang berkisar tentang konflik cinta tiga segi itu lagi.

Kewujudan Sepahtu bermula apabila penyanyi Mawi menawarkan mereka kontrak untuk merakamkan album di bawah syarikat miliknya MW Entertainment dan Sheikh Qalam Records. Melihat kepada tawaran yang datang tepat pada masanya, baik Jep mahupun Shuib tidak mampu untuk menolak tawaran yang sekian lama dinanti-nantikan mereka.

"Sebenarnya tawaran ini datang ketika kami pergi beraya ke rumah Mawi pada penghujung bulan Syawal. Sebelum itu baik saya atau Shuib langsung tidak tahu menahu tentang tawaran untuk rakam album ini.

"Bagi saya ia sebuah tawaran yang tidak mampu saya tolak kerana ia merupakan salah satu impian saya. Selain berlakon, sebagai Sepahtu kami memang ingin mencuba satu bidang yang baharu, mungkin selepas ini peminat dapat melihat sisi lain kami," beritahu Jep.

Album Sepahtu yang diedar dan dipromosikan oleh Universal Music Malaysia itu akan bergenre pop dan rock dengan beberapa lirik berunsur komedi. Ia akan mendapat sentuhan komposer dan penulis lirik terkenal seperti Datuk M. Nasir, Azmeer, Sheikh Qalam, Mawi dan Sepahtu sendiri.

"Mereka masih belum masuk studio kerana sedang memilih lagu yang sesuai dan dalam perancangan mungkin akan ada enam hingga lapan buah lagu yang diterbitkan, jika tidak ada aral melintang pada bulan November lagu single pertama mereka akan muncul di radio dan album akan siap sepenuhnya dalam bulan Disember.

"Bagi saya, Jep dan Shuib tiada masalah untuk menyanyi kerana mereka pernah merakamkan lagu hari raya manakala Shuib sudah mempunyai single Cinta Itu Nyawa yang dinyanyikan secara duet dengan isterinya, Siti Sarah," kata penerbit album Sepahtu, Sheikh Qalam. (Kosmo!)


EmoticonEmoticon