Myvi SE, Extreme dapat sambutan

KUALA LUMPUR - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menjangkakan jualan varian terbaharu model Myvi iaitu Edisi Khas Myvi (SE) dan Extreme dengan enjin berkuasa 1.5 liter akan mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengguna.

Ketua Pengarah Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, varian terbaharu yang turut menggandingkan kuasa, gaya dan keselesaan itu diunjurkan menyumbang di antara 45 sehingga 55 peratus kepada keseluruhan jualan bulanan model Myvi baharu.

"Pengenalan model ini adalah susulan daripada permintaan pengguna yang inginkan model Myvi dengan enjin lebih berkuasa daripada yang ditawarkan sebelum ini iaitu 1.3 liter.

"Dengan pelancaran ini, kami yakin sasaran jualan keseluruhan tahun ini iaitu 190,000 unit bakal dicapai di samping momentum jualan kedua-dua model Myvi 1.3 liter dan 1.5 liter berterusan sehingga tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran model terbaharu itu di sini semalam.

Aminar Rashid menjelaskan, model Myvi SE sebelum ini telah menyumbang kira-kira 30 peratus kepada jumlah jualan Myvi.

Selain itu, varian Myvi 1.3 liter baharu juga telah menerima sebanyak 35,000 tempahan dengan sebanyak 19,000 unit telah diserahkan sehingga kini.

Tambah beliau, sehingga kini sebanyak 2,000 unit varian Myvi 1.5 liter telah ditempah yang mana 80 peratus daripadanya untuk model Myvi SE.

Model Myvi SE 1.5 liter dan Myvi Extreme 1.5 liter itu didatangkan dalam transmisi manual dan automatik.

Model Myvi SE menampilkan lima warna iaitu Majestic Yellow, Ivory White, Mystical Purple, Ebony Black dan Glittering Silver, sementara Extreme menawarkan warna Majestic Yellow, Ivory White dan Ebony Black.

Bergantung kepada spesifikasi, varian terbaharu itu dijual pada harga antara RM50,900 sehingga RM61,700 seunit.

Komen Sop: Menarik! Memang patut mendapat sambutan.... :)
Previous
Next Post »