28 August 2011

AMALAN SUNAT DI HARI RAYA AIDILFITRI

1) BERTAKBIR

Umat Islam disunatkan untuk bertakbir kepada Allah Subhanahu Wataa’la bersempena meraikan kemenangan umat Islam berpuasa selama sebulan.

2) MANDI SUNAT, MEMAKAI WANGIAN DAN PAKAIAN YANG TERBAIK

Imam al-Hakim telah meriwayatkan bahawa Hasan Bin Ali bin Abi Talib r.a berkata: “Rasulullah SAW telah memerintahkan kami pada kedua-dua Hari Raya supaya memakai sebaik-baik pakaian yang kami miliki, menggunakan wangian yang paling baik dan menyembelih binatang korban yang paling berharga (mengikut kemampuan)”.

Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi di mana Saidina Ali r.a telah ditanya oleh seorang lelaki tentang mandi, lantas beliau menjawab: “Mandilah setiap hari kalau kamu kehendaki”. Lelaki itu berkata lagi: “Aku maksudkan mandi yang sebenar-benar mandi (mendapat pahala)”. Ali menjawab: “Hari Jumaat, hari Arafah, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha”.

3) MAKAN SEBELUM KELUAR RUMAH

Imam Bukhari telah meriwayatkan bahawa Anas Bin Malik berkata: “Rasulullah s.a.w tidak keluar dari rumah Baginda pada Aidilfitri, melainkan Baginda makan beberapa biji tamar terlebih dahulu. Baginda makan beberapa biji kurma dalam bilangan yang ganjil”.

4) PERGI KE MASJID DAN PULANG KE RUMAH MELALUI JALAN YANG BERLAINAN

Pergi ke masjid jalan lain, balik rumah jalan lain.

Abu Hurairah r.a berkata: “Setiap kali Hari Raya, Rasulullah akan keluar menunaikan solat Hari Raya, kemudian pulang ke rumah melalui jalan yang berbeza”. (Riwayat Tirmizi)

5) UCAPAN HARI RAYA

Ucapan Hari Raya yang mengikut sunah ialah TAQABBALALLAHU MINNA WAMINKUM. Bermaksud “Moga-moga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian semua”.

Namun begitu, tidaklah menjadi kesalahan untuk mengucapkan “SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN”. Kalau boleh, sebutlah kedua-dua ayat di atas. Insya-Allah, pahala sunnah dapat, silaturrahmi terjalin!

6) SOLAT SUNAT HARI RAYA DAN MENDENGAR KHUTBAH

Saya rasa amalan ini semua umat Islam tahu yang ianya adalah sunat di Hari Raya. Kita disunatkan untuk mendengar nasihat yang akan disampaikan oleh khatib bagi menasihati diri kita untuk 11 bulan yang akan datang.


EmoticonEmoticon