27 July 2011

Syarat serap guru sandaran

PUTRAJAYA - Kesemua 13,184 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) kini dinilai semula bagi tujuan untuk diserapkan ke jawatan tetap dengan syarat mereka memenuhi dua syarat utama yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Dua syarat tersebut ialah mereka telah berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun serta berusia tidak lebih 35 tahun pada 31 Disember 2010.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kepada yang layak, surat tawaran diserap sebagai guru akan dikeluarkan tidak lama lagi.

"Pengambilan tenaga pengajar GSTT sebagai guru itu sejajar dengan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam bulan lepas," katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Akhir Reka Cipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 Peringkat Kebangsaan 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 9 (2) di sini semalam.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan tarikh calon-calon GSTT yang layak itu akan diserap untuk jawatan tetap.

"Kesemuanya bergantung kepada Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing yang telah diarah mengenal pasti kesemua GSTT yang terlibat untuk dipanggil semula," ujarnya.

Katanya, calon-calon yang berjaya akan mengikuti kursus di Institut Pendidikan Guru.

Beliau menambah, sejajar dengan pengambilan GSTT itu, tiada pengambilan baru untuk Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) akan dibuat tahun ini.

Terdahulu, beliau telah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan akhir Reka Cipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 Peringkat Kebangsaan 2010.

Pemenang tempat pertama bagi kategori bot lumba sekolah menengah dan sekolah rendah masing-masing dimenangi oleh SMK Seri Manjong, Perak dan Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Kandu, Penang.


EmoticonEmoticon