LG Optimus 2X catat rekod Guinness

GAJET telekomunikasi LG Optimus 2X, keluaran syarikat LG Electronics (LG) diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai telefon bimbit pintar mobiliti pertama dunia dipacu menggunakan pemproses berkembar.

Kelebihan tersebut sekali gus menjadikan peranti itu mempunyai kelajuan yang tinggi, prestasi berkuasa serta lengkap dengan ciri hiburan multimedia.

Menurut pengarah urusan LG Electronics (M) Sdn. Bhd., HK Kwon, pengiktirafan itu merupakan permulaan yang baik untuk model berkenaan.

"Kejayaan ini telah berjaya membuka era baru dalam arena pembuatan telefon bimbit pintar menerusi tawaran prestasi dan keuapayaan luar jangkaan.

"Tidak cukup dengan itu, menerusi gabungan spesifikasi unik seperti sambungan kabel HDMI pula, ia menjadikan LG Optimus 2X sebagai model telefon bimbit pintar Android premium terbaik,'' katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Guinness World Records, Frank Foley memberitahu, pengiktirafan berkenaan diberi atas pencapaian model peranti itu yang berjaya menghasilkan teknologi terbaik untuk telefon bimbit mobiliti.

LG Optimus 2X dibangunkan bersama teknologi grafik berkuasa NVIDIA dengan pemproses berkembar Tegra 2 berkelajuan 1GHz selain dilengkapi prestasi maksimum untuk permainan video serta audio.

Menerusinya, pengguna akan dapat menikmati pengalaman pelayaran web lebih pantas berbanding operasi cip pemproses biasa.

Di samping itu, ia turut disempurnakan bersama kelebihan teknologi skrin sentuh pantas WVGA empat inci dan sokongan pelaksanaan pelbagai aplikasi serentak pada masa yang sama.

Daripada segi keupayaan multimedia, model tersebut boleh merakam dan memainkan video definisi tinggi (HD) 1080p serta menyokong kandungan Flash.

Spesifikasi lainnya, ia tampil bersama kamera lapan megapiksel, kamera hadapan, slot kad memori microSD, sambungan USB mikro dan bateri 1500mAh.

Bagi teknologi Digital Living Network Alliance (DLNA) pula, ia membenarkan perkongsian sambungan wayarles antara telefon bimbit itu dengan peranti digital lain.

Memberi pengalaman lebih interaktif, LG Optimus 2X dilengkapi sensor Gyro untuk kawalan permainan video terus kepada televisyen menerusi sambungan kabel HDMI.

Model LG Optimus 2X kini boleh diperolehi di pasaran dengan tawaran harga RM1,899. Spesifikasi dan maklumat lengkap mengenainya boleh diperolehi dari laman web www.lg.com
Previous
Next Post »