Cerita Kongsi bercelaru?

Dengar komen-komen rakan, cerita ini kurang best, betul ker?

KUTIPAN RM10 juta yang disasarkan Metrowealth Pictures (MIG) untuk
filem ke-45 terbitannya mungkin boleh dianggap angan-angan yang
terlalu tinggi. Tetapi bagi penerbitnya, David Teo, ia bukanlah
sasaran yang melampau kerana MIG pernah mencipta rekod tersendiri.

Ia pernah berlaku kepada filem Ngangkung apabila ramai meragui
kemampuan filem itu untuk meraih kutipan tinggi. Namun apa yang
berlaku adalah sebaliknya apabila Ngangkung meraih kutipan yang tidak
disangka-sangka, sehingga RM8.45 juta. Justeru, David cukup yakin
kejayaan sama akan diulangi filem kedua arahan Farid Kamil, Kongsi.

Dengan diterajui Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular
Berita Harian (ABPBH) 2010, Shaheizy Sam Samad, menambahkan keyakinan
David sasaran itu dengan mudah dapat dicapai.

Taruhan kedua sutradara muda, Farid Kamil, memperlihatkan idea segar
apabila Kongsi disampaikan dalam bentuk aksi komedi.

"Pada asalnya Kongsi ditulis sebagai filem aksi. Bagaimanapun saya
olah kembali skripnya dijadikan komedi. Kebetulan waktu itu, Adnan
Sempit mendapat sambutan menggalakkan. Jadi saya berasakan, Sam sesuai
membawakan watak utamanya, Tumulak.

"Saya sengaja mengubah genre Kongsi daripada serius kepada komedi
kerana jalan cerita asalnya ganas. Kalau genre itu diteruskan, filem
ini hanya dapat ditonton oleh penonton 18 tahun ke atas," jelas Farid
selepas majlis pratonton filem itu, Selasa lalu.
Farid menjelaskan dia tidak pernah puas dengan produk dihasilkan dan
mengaku memang berlaku kesilapan teknikal pada kamera, apabila ditanya
wakil media mengenai kualiti gambar filem itu yang kurang memuaskan.

"Ketika penggambaran memang berlaku sedikit gangguan teknikal pada
kamera. Kesilapan pada fokus menyebabkan gambar yang diambil agak
kabur, tetapi ada juga yang memang disengajakan kerana ia sebahagian
daripada teknik fotografi," katanya.

Bagaimanapun, ditanya mengenai plot cerita yang bercelaru serta
menimbulkan kekeliruan kepada penonton, Farid menjelaskan, penonton
perlu memberi tumpuan pada awal cerita lagi supaya boleh memahami
keseluruhan cerita yang cuba disampaikan.

Rakan bantu hidupkan Tumulak

KALI pertama diberikan watak ganas dan memerlukan dia bertutur dalam
bahasa Thai serta dialek Kelantan bukanlah sesuatu yang sukar buat
Sam. Walaupun mengakui tidak pernah terbabit dalam sebarang
pergaduhan, dia hanya berpandukan kepada imaginasinya saja untuk
membawakan watak Tumulak.

Untuk menguasai bahasa Thai dan loghat dialek Kelantan, Sam
bertanyakan kepada rakan-rakan di lokasi kerana ada antara mereka yang
mahir bertutur dalam bahasa berkenaan.

"Saya tidak menghadapi masalah besar membawakan watak Tumulak kerana
memang sikap saya suka meniru gaya orang lain. Sebagai pelakon, saya
sentiasa mencari kelainan supaya penonton mengingati lakonan saya.
Malah untuk filem ini, hampir 80 peratus aksi lagak ngeri saya lakukan
sendiri," katanya.

Selain Sam, filem berkisar mengenai kumpulan kongsi gelap yang menemui
penonton mulai 12 Mei turut dijayakan Fizo Omar, Yana Samsudin, Putri
Mardiana, Pak Piee, Chew Kin Wah, Azlan Komeng dan Rafidah Ibrahim.

David Teo melenting

SIDANG media tayangan filem Kongsi arahan Farid Kamil berlangsung agak
panas apabila penerbit Metrowealth Pictures (MIG), David Teo melenting
kerana beberapa kekurangan pada filem itu dibangkitkan media.

Antaranya jalan cerita Kongsi yang kurang jelas serta sebahagian besar
gambar kabur. Walaupun diakui oleh Farid yang menerima teguran itu
secara positif, tetapi lain pula dengan David yang tiba-tiba mencelah
dan memberi penjelasan dengan nada penuh emosional.

Katanya, bagi orang yang pernah menyertai kongsi gelap, mereka pasti
tidak menghadapi masalah untuk memahami filem berkenan.

Jadi adakah apa yang dimaksudkan David Teoh, mereka yang mahu menonton
Kongsi perlu menyertai kongsi gelap terlebih dulu sebelum ke panggung
supaya mereka memahami filem itu?

Dia mendakwa media 'dobule-standard' kerana sengaja mencari salah
filem Melayu berbanding filem dari Hollywood.

"Kenapa perkara ini hendak dibesarkan sedangkan ia berlaku kepada
filem Hollywood, tetapi tidak ada yang mempertikaikannya. Kalau filem
Hollywood, semuanya sempurna dan diberikan ulasan baik. Tapi filem
Melayu ada saja kekurangannya," katanya.

Penjelasan itu menimbul tanda tanya siapa sebenarnya yang menjadi
pengarah filem Kongsi? David Teo atau Farid Kamil?

David juga berkata, dia berani jamin sekiranya pihak media diberikan
RM 2.5 juta untuk menerbitkan filem, mereka bukan saja tidak mampu
malah filem yang akan dihasilkan nanti pasti ada kekurangan.

Biarpun sudah lebih 10 tahun berada dalam industri, dia seolah-olah
langsung tidak boleh disentuh dan dari kaca media, dia dilihat agak
angkuh. Seolah menjadi satu kesalahan besar untuk bertanyakan perkara
yang tidak difahami.

Bukankah lebih baik menjelaskan secara diplomatik berbanding meninggi
suara kerana ia hanya menonjolkan sisi buruk dirinya. Kalau tidak
boleh dikritik, lebih baik MIG tidak memanggil media. Kenapa tidak
ikut saja cara penerbit filem Dua Alam dan Momok The Movie 2 yang
tidak memanggil media untuk majlis pra tonton.

Sikapnya itu menyebabkan minat wakil media tidak berminat untuk
mengambil tahu pasal filem Kongsi. Sebagai produser berpengalaman,
David sepatutnya kalis dengan kritikan. - Berita Harian

Previous
Next Post »