29 April 2011

Misbun tolak tawaran BAM

Harapan untuk melihat Datuk Misbun melatih pasukan negara tidak kesampaian. Sebelum ini ada berita yang menyatakan Datuk Misbun akan bersama BAM melatih pasukan negara. Mungkin ramai peminat yang mengharapkannya tetapi akhirnya kita perlu akur dengan keputusan beliau. Apa-apapun, majulah sukan untuk negara. Yeah!!!

Berita yang dipetik dari MyMetro:
DATUK Misbun Sidek sah tidak akan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) lagi selepas menolak tawaran menjadi jurulatih skuad pelapis badan induk badminton negara itu.

Pengumuman dibuat Timbalan Presiden Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah selepas mesyuarat Exco BAM di pejabat persatuan itu bagaimanapun menimbulkan tanda tanya, apakah alasan sebenar legenda badminton itu menolak tawaran badan induk berkenaan.

“Misbun menolak tawaran kontrak sebagai jurulatih BAM dan ahli Majlis menghormati dan menerima keputusan beliau,” demikian pengumuman Tengku Kamil yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan kerana Presiden, Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh tidak dapat hadir atas urusan mengiringi lawatan Perdana Menteri China ke Malaysia.

“Kami diberitahu oleh Presiden bahawa Misbun membalas surat yang dialamatkan ke rumah beliau petang semalam (kelmarin) hanya dengan menyatakan beliau (Misbun) menolak tawaran BAM tanpa memberi alasan.” “BAM merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada beliau atas khidmat dan sumbangan selama ini sehingga mencipta banyak kejayaan dalam sukan badminton negara sepanjang bersama BAM.” Biarpun tiada alasan diumumkan BAM, Misbun dikatakan tidak berpuas hati dengan tawaran persatuan itu agar beliau melatih skuad pelapis kerana lebih berminat melatih skuad Olimpik yang turut mempunyai Datuk Lee Chong Wei.

Begitupun sikap berdiam diri Misbun selama hampir empat bulan menyebabkan Chong Wei tidak lagi berminat menanti kehadirannya apatah lagi selepas dia semakin selesa di bawah pemantauan Tey Seu Bock dan Rashid Sidek.

Sejak Misbun tidak lagi melatih Chong Wei bermula Januari lalu, pemain nombor satu dunia itu semakin mantap dan mula menunjukkan perkembangan positif, termasuk menewaskan Lin Dan di Seluruh England.

Ada pihak mendakwa, tawaran gaji lebih rendah daripada Majlis Sukan Negara (MSN) antara faktor Misbun menolak tawaran BAM, namun Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong menafikan hal itu.


EmoticonEmoticon