18 February 2011

Khasiat daun mengkudu

Biasa dengar buah mengkudu yang berkhasiat tetapi tidak sangka juga apabila terbaca artikel yang menyatakan daun mengkudu juga berkhasiat. Ikuti petikan berita mengenai daun mengkudu berikut:
KETIKA orang tua-tua mengamalkan pemakanan buah mengkudu sebagai makanan kesihatan, ramai tidak mengetahui daunnya juga mempunyai fungsi perubatan yang tinggi sebagai bahan atau sebatian antioksida.

Sebatian antioksida yang dikenal pasti itu dikatakan dapat mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kanser, penyakit berkaitan jantung, diabetes dan penuaan. Justeru pengambilan antioksida dalam diet dapat mengurangkan risiko berkenaan.

Menurut penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Azizah Abdul Hamid, kajian mengenai khasiat daun mengkudu dijalankan sejak lima tahun lalu dan kini ia dalam proses prakomersial.

“Saya memberi fokus kepada daun mengkudu matang tetapi tidak terlalu tua yang melalui proses pengekstrakan bagi menghasilkan daun mengkudu dalam bentuk serbuk.

“Apabila melalui kajian saintifik mendalam serta konsentrasi yang tinggi, ia didapati mengandungi sebatian catechin tinggi yang dapat merencatkan proses pengoksidaan dalam badan,” katanya ketika ditemui di UPM baru-baru ini.

Penghasilan sebatian berkenaan, menurut Azizah adalah melalui beberapa proses bermula dengan pengumpulan daun-daun mengkudu yang sesuai, pembersihan dan pengeringan menggunakan ketuhar pada suhu kira-kira 40 darjah Celsius sebelum dijadikan bahan serbuk dan dibungkus.

“Keunikan produk ini adalah ia halal, melalui proses penyediaan hijau pada suhu rendah, sesuai untuk pemakan sayur serta mempunyai kebaikan kesihatan yang tinggi.

“Kebanyakan masalah produk makanan tambahan dalam pasaran adalah status halal yang diragui, tidak mempunyai kesan kebaikan kesihatan yang dibuktikan melalui kajian saintifik serta kuantiti pengambilan yang tidak standard,” katanya.

Melalui kajian saintifik

Sementara itu menurut Azizah, bagi melihat keberkesanan sebatian daripada ekstrak daun mengkudu berkenaan, ia telah dicuba ke atas tikus dan sel manusia.

“Proses ini antara lain bagi memastikan ia tidak mengandungi bahan toksik. Walaupun buah mengkudu sudah menjadi makanan kesihatan sejak bertahun-tahun tetapi ia tidak pernah melalui kajian saintifik.

“Setelah melalui kajian santifik, barulah ia dapat dibuktikan dan dikomersialkan kerana mempunyai perakuan khasiat perubatan,” jelas beliau.

Menurut Azizah, proses pengekstrakan adalah bagi memencilkan sebatian daun mengkudu supaya dapat diambil sebagai makanan tambahan yang tidak menjejaskan rasa asli makanan tetapi mempunyai kebaikan kesihatan yang tinggi.

“Serbuk daun mengkudu dapat ditambahkan dalam makanan biasa dan menjadikannya sebagai makanan fungsi yang dapat menghalang pembentukan penyakit-penyakit kronik.

“Ini kerana, kajian saintifik turut mendapati pesakit yang menghidapi penyakit seperti jantung, kanser dan diabetes mempunyai kandungan toksik yang tinggi di dalam badan mereka,” katanya.


PENYELIDIKAN UPM mendapati khasiat mengkudu bukan sahaja pada buahnya tetapi juga daun yang matang.

Azizah memberitahu, kajian yang mendapat geran daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu mempunyai kebaikan berganda kerana ia adalah daripada bahan semula jadi dan bukan sintetik.

“Proses pengekstrakan yang dilakukan juga menggunakan kaedah mesra alam kerana kami tidak menggunakan bahan pelarut yang tinggi sebaliknya karbon dioksida untuk tujuan pemencilan.

“Proses penghasilan dan bahan makanan berfungsi yang menggunakan daun mengkudu ini juga telah dipatenkan oleh Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC). Ia belum pernah ada dalam pasaran,” jelas beliau.

Perkembangan produk

Projek yang dimulakan pada tahun 2005 dan dijangka selesai pada tahun 2014 itu kini sedang melalui fasa pra pengkomersialan. Selepas dipatenkan, Azizah dan kumpulannya kini sedang dalam proses menarik minat pelabur terutama syarikat-syarikat yang berminat dengan produk tersebut.

“Ketika ini kami menyasarkan pasaran Malaysia tetapi ia masih dalam perancangan dan penyusunan. Penyelidik UPM lain yang terbabit ialah Mohd. Sabri Pak Dek, Profesor Azizah Osman dan Dr. Masturah Markom,” katanya.

Menurut Azizah, melalui produk dan teknologi yang dinamakan sebagai ingredien fungsian makanan tinggi antioksida itu, beliau menyasarkan pengguna industri makanan dan bahan makanan.

“Kos bahan ini adalah lebih kurang RM10 sehingga RM20 untuk 1,000 miligram yang sesuai digunakan untuk pembangunan makanan atau minuman fungsian. Penambahan kira-kira 50 hingga 100 miligram ingredien fungsian mencukupi untuk 200 milimeter minuman.

“Produk ini juga telah mendapat pengiktirafan dengan memenangi pingat perak pada Anugerah Pameran dan Kajian UPM tahun 2006,” tambahnya.

Katanya lagi, mengikut trend global, pengguna kini lebih menghargai produk hijau dan semula jadi yang diyakini lebih selamat.

“Jualan tahunan produk herbal Malaysia ketika ini dilihat berkembang pada kadar 15 ke-20 peratus setiap tahun, dua kali ganda berbanding penggunaan di Amerika Syarikat (AS),” katanya.


EmoticonEmoticon