Al-Quran rujukan terbaik manusia hingga kiamat

AL-Quran adalah mukjizat paling besar dan utama yang diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah

Ia menjadi petunjuk paling baik untuk manusia sehingga tiba hari kiamat dalam mencari keredaan Allah, seterusnya mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Sebagaimana hebatnya al-Quran, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) pahala dan setiap pahala digandakan sepuluh kali ganda. Aku tidak kata ‘alif’... ‘laam’... ‘miim’ itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf.” (Riwayat Tarmizi: hadis Hasan Sohih)

Kitab suci al-Quran atau kalam Allah diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril AS secara berperingkat selama 23 tahun.

Sebagai umat yang mengaku beriman dengan kitab suci al-Quran, umat Islam hendaklah menjadikannya bacaan dan rujukan utama dalam kehidupan.

Oleh yang demikian, dalam kesibukan harian, kita sewajarnya memberi sedikit ruang kepada diri dan keluarga kita untuk mencari keredaan Allah SWT melalui pembacaan al-Quran.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Imran, 6, bahawasanya: “Dialah yang menurunkan al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci al-Quran. Sebahagian besar dari al- Quran itu ayat-ayat Muhkamat (yakni yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya) ayat- ayat Muhkamat itu ialah ibu atau pokok) isi al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat Mutasyabihat (yang samar-samar tidak terang maksudnya).”

Kerana al-Quran juga, Allah SWT mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan kepada cahaya yang terang.


Oleh itu Allah mengangkat dan memuliakan orang yang suka membaca al-Quran sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kalian ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.” (Riwayat Bukhari, Abu Daud, Tarmizi)

Kebaikan membaca al-Quran sangat banyak, antaranya ialah, bagi orang yang membaca al-Quran dengan maksud untuk menghafalnya dan dilakukan dengan susah payah maka baginya dua kali pahala, iaitu pahala membaca dan pahala susah payah menghafalnya.

Manakala orang yang membaca al-Quran dengan lisan dan tergagap-gagap dan dirasakan berat (gagap) maka baginya dua pahala.

Sesungguhnya orang yang membaca al-Quran dan mengamalkannya lebih besar darjat daripada orang yang tidak membaca al-Quran.

Ibnu Abbas RA berkata Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya orang yang di dalam dirinya tidak ada (tidak menghafal) satu ayat al-Quran pun, keadaannya sama dengan rumah yang kosong. Jadi, bacalah walau sepotong ayat kerana ia mampu menerangi hati seseorang itu.”
Previous
Next Post »