17 March 2010

Balik Kampung Terengganu, kenduri kawin sepupu

Pada Khamis lepas, aku terpaksa bercuti untuk balik kampung sempena perkahwinan sepupu aku. Perjalanan bermula jam 10.30 pagi selepas selesai sarapan. Kami tidak terburu-buru untuk bertolak awal kerana ia bukan hari cuti umum dan seperti biasa pasti tiada kesesakan lalulintas.


Perjalanan berjalan lancar dan kenderaan tidak banyak berada di lebuhraya. Cuaca yang baik melancarkan lagi perjalanan kami. Kami berhenti di beberapa hentian untuk berehat seketika dan ke tandas.

Untuk makan tengah hari, kami telah tiba di Kemaman, Terengganu. Tempat biasa kami berhenti ialah di Kuala Kemaman untuk menikmati satar, otak-otak dan baung ubi. Tidak sah rasanya sekiranya tidak singgah di Kuala Kemaman untuk menikmati keenakan tersebut.

Selesai menjamu selera, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Kami tiba di Kampung Laut sekitar jam 5.30 petang. Semasa di kampung, Azwar sempat bermain dengan anak ayam yang kebutan berada di depan rumah bapa saudara aku. Anak-anak ayam tersebut sungguh jinak sehingga Azwar pun dapat menangkapnya.

Pada malam tersebut, kami hanya berehat di rumah. Perjalanan hampir setengah hari itu memenatkan kami.

Keesokan pagi, aku ke warung yang berhampiran untuk mendapatkan nasi dagang untuk sarapan pagi. Warung tersebut menyediakan nasi dagang seawal selepas subuh. Aku perlu awal ke warung tersebut kerana jika terlewat, pasti ia habis.

Jam 10.00 pagi ke rumah sepupu aku untuk majlis akad nikah. Pagi tersebut hujan tidak berhenti-henti. Keadaan kenduri agak kelam kabut dengan cuaca tersebut. Azfar dan Azwar pula sibuk dengan bermain air hujan dan aku agak penat menjaganya. Bagaikan pegalaman baru bagi Azfar dan Azwar berkesempatan bermaian hujan. Selepas majlis akad nikah, berjalan pula majlis khatam Al Quran.

Tidak tahan dengan keadaan Azfar dan Azwar yang hampir kuyup, kami pulang ke rumah. Selepas sembahyang Jumaat, kami kembali ke majlis perkahwinan. Majlis persandingan di adakan pada jam 3. Petang tersebut cuaca adalah baik. Tetamu berkunjung-kunjung tiba.

Pada malam tersebut, kami sekeluarga dan adik beradik kedai makan yang popular dengan sup belut. Restoran tersebut berada di Chendering berhadapan dengan SMK Chendering. Kedai tersebut diperkenalkan oleh ayah aku yang pernah makan sup belut di kedai tersebut.

Malam tersebut, hanya ayah aku dan abang aku yang menikmati sup belum tersebut. Aku dan yang lain tidak mampu untuk makan sup tersebut. Aku difahamkan sup belut tersebut baik untuk kesihatan. Di hadapan kedai tersebut, diletakkan akuarium untuk belut hidup.

Pagi keesokkanya, kami pulang ke Kuala Lumpur selepas sarapan pagi. Dalam perjalanan pulang, kami singgah lagi di Kuala Kemamang untuk makan tengah hari dan membeli Satar dan keropok lekor untuk di bawa ke pejabat.

Kami tiba di Kuala Lumpur jam 7.30 malam.


EmoticonEmoticon