11 March 2009

Hempas Bayi - Kejam

Ini cerita di Harian Metro mengenai seorang bapa yang mendera anaknya kerana tidak tahan anaknya asyik menangis. Pengaruh dadah menagatasi segala-galanya. Itu yang dapat aku rumuskan. Jika bapa itu bersikap waras, dia tak akan sanggup lakukan sesuatu seperti itu.

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my
GEORGETOWN: Berang kerana tak tahan mendengar tangisan, seorang lelaki tergamak menghempaskan bayi perempuannya yang baru berusia empat bulan ke atas tilam, Ahad lalu.

Tindakan bapa panas baran itu di rumah sewa mereka di Kampung Masjid, Sungai Ara di sini, membawa padah apabila bayi tidak berdosa itu, Nurul Ain Amirah, yang beberapa jam menderita akibat perbuatan kejamnya meninggal dunia.

Polis menahan lelaki itu selepas dia dan isteri membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, kelmarin.

Wartawan yang mendapat maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke tempat kejadian semalam, tetapi keluarga mangsa sudah pulang ke Pendang, Kedah, untuk mengebumikan jenazah mangsa.


Namun, seorang jiran kepada keluarga itu, Rafiah Mahmood, 39, yang menjadi orang pertama mengesyaki kejadian memilukan itu dapat ditemubual.

Menurutnya, dia terdengar jeritan kuat diikuti suara ibu mangsa beristighfar dalam keadaan mencemaskan selepas solat Subuh, kelmarin.

Dia menyidai kain di luar rumah sebelum ibu bayi itu meluru keluar dari rumah dan memberitahu Nurul Ain diserang sawan tarik.

“Saya terus ke rumah mereka dan melihat Nurul Ain masih bernyawa, tetapi keadaannya cukup lemah dengan kedua-dua mata separuh tertutup dan tangannya kejang.

“Saya memegang tangan dan menggosok-gosoknya, namun tidak ada perubahan. Ketika itu, saya terlihat kesan lebam di kedua-dua pipi dan seluruh badannya. Apabila ditanya, si bapa mengaku dia mencubit dengan alasan geram kerana bayinya menangis setiap hari,” katanya.

Rafiah berkata, pasangan terbabit membawa Nurul Ain menerima rawatan secara tradisional.

Ketika pulang semula tengah hari, si ibu memberitahu jiran berkenaan, Nurul Ain tidak minum susu sejak pagi dan kelihatan seperti sedang tidur, tetapi dia takut mengejutkannya.

“Beberapa jam selepas itu, bayi berkenaan masih belum bangun menyebabkan ibunya memanggil saya sekali lagi kira-kira 4 petang (kelmarin).

“Saya segera memegang Nurul Ain tapi badannya sudah sejuk. Apabila tak sedap hati melihat keadaannya, saya menyuruh suami isteri itu menghantar anak mereka ke hospital,” katanya.

Katanya, pasangan itu pulang jam 7 malam dan dia dimaklumkan ibu Nurul Ain, bayinya sudah meninggal dunia.

Pasangan itu juga memaklumkan, mereka perlu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di Balik Pulau untuk membuat laporan.

Bagaimanapun, kata Rafiah, ibu mangsa pulang ke rumah seorang diri bersama jenazah Nurul Ain kira-kira jam 4 pagi semalam.

Sejurus kemudian, jenazah bayi itu dibawa ibunya pulang ke kampung halamannya di Pendang.

Mengenai pekerjaan suami wanita itu, dia berkata, lelaki itu seorang buruh kasar manakala isterinya kerja kilang.

“Kejadian itu menggemparkan penduduk setempat. Kami bagaimanapun tidak boleh membuat sebarang tuduhan dan biarlah pihak berkuasa menyiasat.

“Sebagai jiran dan rakan, saya berharap wanita itu tabah menghadapi dugaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Md Zain, berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 4 petang kelmarin apabila ibu bapa mangsa membawanya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menjalani rawatan.

Menurutnya, sebaik tiba di HPP, doktor yang merawat mendapati bayi berkenaan sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, hasil bedah siasat menemui kesan penderaan berikutan banyak kesan lebam, termasuk di pipi, telinga dan kepala.

Katanya, siasatan mendapati ibu mangsa mendakwa suaminya membaling bayi mereka ke atas tilam akibat tidak tahan dengan tangisannya sejak Sabtu lalu.

“Polis menahan reman bapa bayi berkenaan berusia 35 tahun itu selama enam hari. Hasil pemeriksaan turut mendapati dia positif mengambil dadah jenis heroin. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro semalam mendapati rumah mangsa berkunci.


EmoticonEmoticon